suria

Mirna-Norah: Kami keluar bermaruah

Pasangan Mirna dan Norah bersama koreografer mereka, Dayana (kanan) dan wakil Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor & Wilayah Persekutuan Uma Rani M. Muniandy (kiri). -foto The Star oleh KEVIN TAN
Pasangan Mirna dan Norah bersama koreografer mereka, Dayana (kanan) dan wakil Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor & Wilayah Persekutuan Uma Rani M. Muniandy (kiri). -foto The Star oleh KEVIN TAN
Pasangan Mirna dan Norah bersama koreografer mereka, Dayana (kanan) dan wakil Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor & Wilayah Persekutuan Uma Rani M. Muniandy (kiri). -foto The Star oleh KEVIN TAN

PASANGAN Mirnawan Nawawi, 38, dan Noorah Mokhsin, 30, mampu tersenyum lega walaupun terpaksa meninggalkan pentas Sehati Berdansa musim ketiga pada minggu keempat lalu setelah mendapat markah terendah, 46.85 peratus.

Bagi bekas pemain hoki terkenal, Mirnawan atau Mirna, mereka langsung tidak menyesal tersingkir pada minggu itu kerana sekurang-kurangnya mereka keluar bermaruah.

Menurut juri tetap, Joseph Gonzales, Mirna sudah banyak melakukan peningkatan dalam gerak tarinya dan bagaikan sudah selesa untuk melentur badannya di pentas tari ketika menunjukkan tarian dalam minggu yang bertemakan ‘Pesta Muda-Mudi’ menerusi lagu ‘Jatuh Cinta Lagi’.

Selain Joseph, pasangan ini turut diadili sebanyak 50 peratus oleh dua juri undangan iaitu koreografer Lavinie Thiruchelvam dan pelakon Jaafar Onn manakala 50 peratus lagi berdasarkan undian daripada penonton.

Walaupun mereka mendapat tempat keempat dari segi markah juri, namun begitu keputusan undian penonton yang rendah menyebabkan mereka terpaksa berundur diri akhirnya.

Sudah adat pertandingan bercorak realiti, Mirna dan Norah sentiasa bersedia untuk disingkirkan memandangkan mereka akui kehendak penonton lebih memihak kepada pasangan artis.

“Saingan sengit dan mungkin penonton lupa untuk mengundi kami. Kami juga tak mampu mengawal penonton kerana semuanya bergantung kepada mereka.

“Saya rasa undian kami rendah mungkin sebab saya ahli sukan dan tidak popular seperti artis.

“Yang penting kami memperolehi markah juri profesional di tempat keempat dan sudah berjaya mencapai sasaran untuk menunjukkan kebolehan kami kepada juri.

“Saya juga sudah tunjukkan ahli sukan berkebolehan untuk bertanding luar dari bidang apabila berjaya menduduki tempat keempat dan suatu pencapaian yang bagus.

“Saya galakkan lebih ramai lagi ahli sukan menyertai program ini pada masa akan datang dan kekal sehingga minggu kelima, keenam dan seterusnya,” kata Mirna.

Bagi pendapat Norah pula, mungkin orang ramai sudah menjangkakan yang ahli sukan akan terkeluar lebih awal.

Namun mereka sudah cuba menyahut cabaran untuk kekal dalam program itu.

“Sebelum ini kami pernah terfikir untuk mengambil kelas salsa tetapi waktu kerja saya yang tidak menentu tidak mengizinkan kami. Insya-Allah, kalau ada masa nanti kami akan ambil kelas untuk menyambung pembelajaran yang diajar oleh koreografer kami, Dayana.

“Saya pula tak pernah berhadapan dengan khalayak dan pertama kali menyertai program seperti ini.

“Jadi, sebab itu saya tak nak tengok markah undian apabila membuat persembahan setiap minggu. Saya tahu kebanyakan penonton datang dari kalangan golongan remaja jadi mesti mereka akan lebih fokuskan kepada artis.

“Saya memang berpuas hati apabila sempat menari selama empat minggu ini dan apakan daya kami memang tiada rezeki untuk meneruskan program ini,” ulas Norah yang akan meneruskan kariernya sebagai pramugari MAS.

Sementara Mirna yang kini bergelar pengarah syarikat tidak akan melupakan kenangan mereka ketika berada dalam program yang dihoskan oleh Fahrin Ahmad, Scha dan Awal Ashaari ini terutama ketika menjayakan tema ‘Pesta Muda-Mudi’.

Melalui penyingkiran itu, Mirna dan Norah hanya berjaya mengumpul wang tunai RM4,000 untuk disumbangkan kepada Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor & Wilayah Persekutuan, badan kebajikan yang diwakili oleh mereka.

Pasangan ini mengikut jejak pasangan Anita dan Ismadi serta Enot dan Zainul meninggalkan program yang disiarkan di Astro Ria itu.

Kini, tinggal enam pasangan lagi yang akan meneruskan perjuangan mereka iaitu Sazzy dan Nazril, Dira dan Ash, Oshin dan Firdaus, Didie dan Sham, Sein dan Nana serta Isma dan Zul.

Keputusan markah peratusan keseluruhan minggu keempat:

Sazzy dan Nazril (57.23), Isma dan Zul (52.76), Sein dan Nana (52.43), Oshin dan Firdaus (51.36), Dira dan Ash (50.56), Didie dan Sham (49.30).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain