suria

Nora Danish: Kami tak berlakon dalam babak sama

Nora akui tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan Fasha di dalam Spa Q
Nora akui tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan Fasha di dalam Spa Q
Nora akui tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan Fasha di dalam Spa Q

"SAYA memang tahu dia turut ditawarkan di dalam drama Spa Q sejak awal lagi. Saya tiada masalah tentang hal tersebut. Lagipun, kami tidak berlakon di dalam babak yang sama," komen Nora Danish menerusi pembantunya, semalam, berhubung pembabitannya dan aktres Fasha Sandha di dalam drama bersiri Spa Q musim ketiga yang bakal memulakan penggambaran pada 15 Oktober ini.

Kisah 'panas' yang pernah melanda dua aktres popular ini hangat diperkatakan tidak lama dulu, semuanya gara-gara perceraian Nora dan bekas suaminya, Rizal Ashram, yang dikatakan berpunca akibat kehadiran orang ketiga iaitu Fasha.

Penafian demi penafian dibuat oleh Fasha yang menafikan dia mempunyai hubungan dengan Rizal dan menjadi punca perceraian itu. Malah, Fasha baru-baru ini turut mendedahkan dirinya bakal mendirikan rumahtangga dengan seorang jejaka yang bukan berstatus duda.

Namun, Fasha akhirnya membuat pengakuan di dalam blognya pada bulan lalu bahawa dia sememangnya pernah mempunyai hubungan istimewa dengan anak sulung bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib itu dan pernah dilamar oleh lelaki tersebut.

Bagaimanapun, semua itu berlaku setelah Rizal dan Nora bercerai pada Ogos tahun lalu dan menurut aktres tinggi lampai itu di dalam blognya, dia dan Rizal bagaimanapun tidak meneruskan hubungan mereka kerana tidak dipersetujui oleh keluarga.

Mengulas lanjut tentang 'kerjasama' antaranya dan Fasha buat pertama kalinya selepas kontroversi yang melanda mereka tidak lama dulu, kata ibu kepada Putera Rayqal ini, dia melihat perkara tersebut secara profesional.

Malah, dia menolak tanggapan ramai yang mungkin merasakan kontroversi antara mereka itu dieksploitasi oleh pihak produksi.

"Ketika ditawarkan oleh penerbit, Global Station, saya sudah diberitahu tentang pembabitannya (Fasha) juga. Namun begitu, watak saya dan dia tidak berkaitan dan kami tidak terbabit dalam babak yang sama pun.

"Sebenarnya, saya pernah ditawarkan untuk berlakon dengannya di dalam sebuah drama sebelum ini. Tetapi memandangkan jadual yang padat, saya terpaksa menolak.

"Jadi tidak timbul isu eksploitasi atau saya tidak boleh bekerja dengannya," ujar Nora.

Di dalam drama itu nanti, Nora akan memegang watak sebagai Maya, isteri kepada Dafi lakonan Fazren Rafi.

Namun begitu, sebelum memulakan penggambaran Spa Q, Nora terlebih dahulu akan terlibat di dalam telefilem Sepat Ronggeng arahan Rashid Sibir pada 6 Oktober ini.

Sementara itu, di dalam sebuah akhbar tabloid semalam, Fasha berkata, dia akan terbabit di dalam musim terbaru drama bersiri popular itu yang bakal ditayangkan di Astro setelah bersiaran di TV3 selama dua musim sebelum ini.

Menurut Fasha yang akan memegang watak antagonis bernama Freeda, dia tiada masalah bekerjasama dengan Nora atas dasar profesional dan akan cuba melakukan yang terbaik di dalam drama tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain