suria

Us Dzulkarnain: Hiburan Islamik mampu bawa program agama lebih jauh

Ustaz Dzulkarnain Hamzah merupakan hos program 'Kalam Suci'. -foto The Star oleh SIA HONG KIAU
Ustaz Dzulkarnain Hamzah merupakan hos program 'Kalam Suci'. -foto The Star oleh SIA HONG KIAU
Ustaz Dzulkarnain Hamzah merupakan hos program 'Kalam Suci'. -foto The Star oleh SIA HONG KIAU

MEMIKIRKAN tentang skop penonton, ramai yang tidak mampu menolak program berbentuk hiburan di kaca televisyen masing-masing.

Kerana jika dilihat program hiburan lebih mendapat tempat di hati penonton sekarang berbanding program berbentuk keagamaan atau pendidikan.

Adakah ini bermakna masyarakat lebih suka berhibur daripada mengisi minda mereka dengan ilmu yang berinformasi?

Atau mungkin mereka sudah penat mengisi minda dengan ilmu di sekolah dan mengerah fikiran dan tenaga di tempat kerja lantas hanya memikirkan untuk relaks sahaja apabila menonton televisyen di rumah?

Berilah 1001 alasan sekalipun, percaya atau tidak ada juga yang terbuka mindanya lantas tidak kurang ada di kalangan 1 juta penonton itu yang menonton rancangan berbentuk keagamaan.

Menurut hos program ‘Kalam Suci’ yang disiarkan di saluran Astro Oasis, Ustaz Dzulkarnain Hamzah, program itu telah berjaya mencapai rating 90,000 penonton.

Setelah setahun lebih mengelolakan program ini, Dzulkarnain bersyukur kerana program ini masih diterima ramai dan telah pun berjaya memasuki musim kelima.

“Kita menggunakan kaedah program yang lebih santai, jadi sebab itu kita cuba mudahkan perkara yang susah.

“Misalnya, kita menambahkan slot ‘Indahnya Kalam Suci’ bersama Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman untuk menarik minat remaja supaya meminati program al-Quran dan dalam masa yang sama ingin memperkenalkan ahli al-Quran kiraat.

“Apabila di peringkat akhir, kita masukkan elemen monolog dengan susun atur yang berlainan.

“Manusia inginkan hiburan, jadi kita masukkan yang Islamiah..itulah faktor program agama boleh pergi jauh,” katanya.

Tambah Dzulkarnain lagi, penonton juga gemarkan bacaan Yasin yang mempunyai alunan.

“Jadi, kita buatkan bunyi yang mempunyai kesan bunyi dan apabila seseorang itu mengaji, ia akan memberikan kesan seolah-olah orang itu menyanyi,” tuturnya.

Sempena bulan puasa ini, mereka juga telah membuat rakaman di luar studio seperti Proton, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa syarikat korporat.

“Kita mahu tampilkan yang orang korporat juga boleh membaca al-Quran.

“Kita juga mengambil beberapa selebriti seperti Qhaud untuk melahirkan Islamik.

“Saya juga memberikan cadangan untuk mengambil Qhaud di akhir program ‘Kalam Suci’ ini kerana dia mempunyai kelebihan suara yang boleh dimanfaatkan untuk qasidah, monolog yang memerlukan seni bersuara,” beritahunya yang turut bekerja dalam urusan mengerjakan haji dan umrah.

Maka tidak hairanlah jika suara Ustaz Dzulkarnain begitu merdu ketika mengalunkan zikir dalam program rakaman ‘1001 Inspirasi Raikan Kemenangan’ yang bakal di siarkan pada Hari Raya nanti, 20 september, pukul 1.30 petang di saluran Astro Oasis.

Selainnya, artis lain yang turut menjayakan program dakwah hiburan ini adalah Ramli Sarip, Datuk Sheila Majid, Datuk Dr Fadzilah Kamsah, Mawi, Rabbani, Akbar, Akhil Hayy, Ustaz Diniz dan Qhaud.

Konsep program ini berbentuk mini konsert gabungan zikir, monolog, lagu-lagu ketuhanan dan tazkirah yang mengajak penonton berdakwah secara santai mengenai kemenangan umat Islam dalam menempuh dugaan.

Lagu-lagu yang dipersembahkan secara unplugged oleh artis yang terlibat seperti ‘Manusia Lupa’ oleh Akbar, ‘Subhanallah’ (Rabbani), ‘Allah Habeebi’ (Mawi), ‘Ku Mohon’ (Sheila Majid), ‘Sesungguhnya’ (Akhil Hayy) dan ‘Bahasa Terindah’ (Ramli Sarip).

Artikel Lain