suria

Quiara: Saya doa dijauhkan dari terpesong akidah

“ISLAM itu indah...saya hanya berdoa semoga Tuhan jauhkan diri saya dari terpesong akidah dan dapat melakukan yang terbaik untuk diri-sendiri kelak,” luah aktres dan penyanyi Quiara atau nama sebenarnya Tunku Tiara Yasmin Sofia Tunku Hassan.

Luahan itu terdetik dalam hatinya setelah melakonkan drama bersiri ‘Cinta Sempurna’ sebagai Shila, seorang anak gadis yang terbiasa hidup mewah dan kesenangan hidup memberontak akibat kurang mendapat didikan agama yang sempurna kesan dibesarkan dengan budaya barat di luar negara.

Sebagai tanda protes, dia dan abangnya, Najib (Wan Hafizol Wan Omar atau Fizow) bertindak memberontak dengan pihak pentadbir sekolah agama di mana mereka belajar sehingga semua orang tidak tahan dengan sikap mereka.

“Memanglah saya tak tahu agama dengan mendalam tetapi sekurang-kurangnya saya tahu asas agama.

“Apabila membaca skrip cerita itu, saya rasa sedih dan insaf malah bersyukur kerana masih mengetahui tentang agama jika dibandingkan dengan karektor Shila yang jahil, suka merokok dan minum arak.

“Ini merupakan drama pertama dalam hidup saya yang membuatkan saya betul-betul menangis ketika melakonkan babak sedih,” kata gadis berusia 22 tahun itu.

Pengisian cerita ini agak berat dan sarat dengan mesej berguna serta ada beberapa babak yang mungkin boleh menimbulkan amarah kerana memperlekehkan wanita bertudung.

Namun, bagi Quiara cerita ini memang menceritakan tentang realiti kehidupan dan berdasarkan kisah benar, dia hanya melakonkan sahaja.

Jelas Quiara, masalah terpesong dalam agama ini sepatutnya tidak boleh disalahkan kepada ibu dan bapa semata-mata kerana semuanya bergantung kepada seseorang individu itu.

Disentuh tentang cabaran, Quiara berkata banyak cabaran yang terpaksa diharunginya memandangkan karektor Shila jauh lebih berbeza dari dirinya yang sebenar.

“Saya tidak merokok jadi agak susah juga untuk saya melakonkan babak yang memerlukan saya menghembus asap rokok tetapi saya buat sahaja mengikut arahan pengarah.

“Saya juga terpaksa berbahasa Inggeris dalam 60 peratus babak yang dilakonkan sehingga saya perasan ada juga kesalahan sebutan bahasa yang saya lakukan.

“Mujurlah pihak produksi ada menyediakan guru bahasa Inggeris yang pernah tinggal lama di United Kingdom.

Selain drama 20 episod itu, Quiara juga pernah berlakon drama bersiri ‘Gadis Cuci The Series’termasuk beberapa telefilem seperti ‘Lo’la’’, ‘Ranjau Berduri’, ‘Keliru’ dan ‘Sadis’.

Ambil peluang masuk Indonesia

Menyentuh tentang nyanyian, anak saudara penyanyi Shafinaz Selamat ini telah 70 peratus menyiapkan album pertamanya itu.

“Album ini sedang dibuat di Indonesia dan 10 buah lagu yang dimuatkan dalam album itu digubah oleh Ryan Kyoto.

“Antaranya lagu ‘Demi Kasih Sayang’, ‘Merpati’ duet dengan ibu saudara saya, Shafinaz dan ‘Luka’ duet dengan penyanyi dari Indonesia.

“Daripada 10 buah lagu itu, tiga buah lagu dinyanyikan secara duet. Album ini menggunakan modal sendiri dengan bantuan daripada ibu saya, Zuraida Selamat.

“Shafinaz juga menolong saya dalam pemilihan lagu dan mengajar tentang vokal dan cara menghayati lagu,” kata gadis yang berasal dari Johor Bahru, Johor ini.

Ditanya mengapa dia memilih khidmat dari Indonesia, anak kacukan Melayu dan Bugis di sebelah bapa manakala Bugis dan Jawa di sebelah ibu ini berkata dia menggunakan peluang itu untuk mengembangkan pasaran di Indonesia.

“Dia (Ryan) yang bertanya kepada saya dengan niat mahu menolong. Lagipun, bukan mudah untuk menerima tawaran dari sana seperti Datuk Sheila Majid dan Datuk Siti Nurhaliza.

“Insya-Allah, album ini akan dipasarkan di Indonesia terlebih dahulu selepas Hari Raya nanti. Kemudian baru album ini akan dipasarkan di Malaysia,” ceritanya mengenai album bergenre pop balada ini.

Harapan Quiara mengenai album yang semuanya berkisar cinta ini, “Saya tak nak letakkan sasaran yang terlalu tinggi untuk menjadi terkenal seperti Datuk Siti tetapi cukuplah orang tahu dan menyukai cara nyanyian saya.

“Sekurang-kurangnya saya sudah ada sebuah album..saya nak orang ingat dan bukan terus lupa selepas saya ada album.”

Saksikan drama 'Cinta Sempurna' lakonan Quaira mulai 17 Ogos ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 3 petang.

Artikel Lain