suria

Erra kena tempias kritikan 'Gugu gaga Erra'

Erra Fazira menatap wajah comel anaknya, Engku Aleesya.
Erra Fazira menatap wajah comel anaknya, Engku Aleesya.
Erra Fazira menatap wajah comel anaknya, Engku Aleesya.

JIKA sudah bergelar selebriti, apa yang dibuat pasti menjadi perhatian ramai serta mendapat publisiti. Ada peminat yang akan memuji, ada pula yang mengkritik hasil kerja mereka.

Selebriti yang bukan calang-calang orang seperti Erra Fazira turut menerima tempias kritikan sesetengah orang.

Segelintir mereka dikatakan melabelkan program realiti, "Gugu Gaga Erra" yang melibatkan Erra dan anaknya, Engku Aleesya Engku Emran sebagai "dramatis" dan "mengada-ada".

Malah, bekas pengurus Erra, Vernon Kedit Jolly dikhabarkan selalu memberi idea untuk program sebanyak 10 episod yang ditayangkan di Astro Ria (104) bermula Selasa 9 Jun lalu pada jam 9 malam dan ulangannya setiap Ahad jam 1.30 petang.

Dalam laut boleh diduga, dalam hati siapa tahu. Pengetahuan (fikiran) seseorang itu memang tidak dapat kita duga.

Akui Erra, beliau tidak dapat menghalang orang lain daripada mengkritik buat tangannya.

"Mereka harus faham namanya sudah dipanggil 'reality show'. Krew penggambaran ikut Erra dan mereka sentiasa berada di sekitar saya.

"Jalan cerita itu bukanlah berdasarkan skrip semata-mata. Misalnya, semasa sesi fotografi, kita cantikkan atau menjadikannya dramatis sahaja.

"Walaupun tidak bekerja, dia (Vernon) akan datang untuk membincangkan penskripan. Perkara tersebut tidak boleh disorok," jelas Erra ketika ditemui di majlis pelancaran set televisyen Philips 21:9 di Hotel J.W. Marriot, Kuala Lumpur, semalam.

Program 'Gugu Gaga Erra' menceritakan tentang pengalaman Erra sebagai ibu selama 10 minggu di mana rakaman itu turut memaparkan tentang aktiviti Erra bersama permata hatinya.

Memandangkan adalah sukar untuk memuaskan hati pihak terbabit, Erra berkata dalam keadaan terburuk, beliau mendedikasikan program tersebut kepada para peminatnya sahaja.

"Saya tahu ada yang melihat tiada apa-apa untung atau faedah dalam program 'Gugu Gaga Era' ini. Jika mereka melihat tiada apa-apa yang positif, jadi ia adalah untuk kawan-kawan saya sahaja.. habis cerita," ujar Erra yang pernah berlakon dalam filem Gerak Khas The Movie (2000) dan Soal Hati.

Setakat ini, Erra bersyukur program 'Gugu Gaga Erra' mendapat rating yang baik sehingga mempunyai lebih 600,000 penonton. Untuk menjayakan program realiti tersebut, primadona filem Melayu ini telah membuat "pengorbanan" yang besar.

Erra semasa majlis cukur jambul anaknya, pernah memberitahu media bahawa seboleh-bolehnya beliau tidak ingin anaknya mengikut jejak langkahnya sebagai selebriti.

Malah, katanya, kebebasannya seperti tergadai dek kerana memberi laluan kepada penggambaran dilakukan.

"Semasa penggambaran, kamera itu macam melekat kat kita.. Bila nak keluar ke Ikea, macam bawa satu rombongan untuk membeli-belah," luah Erra yang ingin program ini membuka jalan kepada artis-artis lain untuk terlibat dalam program realiti seumpama ini.

Tambah Erra, dia tidak menyalahkan pengkritik programnya kerana program tersebut yang banyak di Hollywood belum popular di negara ini.

Melihat tubuh badan Erra yang semakin langsing, rupa-rupanya Erra sedang menguruskan berat badan di pusat pelangsingan badan, Slimworld.

"Saya sedang berhempas pulas. Bila ada masa, Erra terus pergi melangsingkan badan. Ada lima kilo nak turun untuk pakai jeans lama," kata Erra yang ingin mencapai berat badan antara 54-55 kilogram.

Artikel Lain