suria

Celeb Nexus rapatkan peminat dan selebriti

Syarizan (tengah) bersama antara barisan artis Aquila Emas yang telah menandatangani kontrak sebagai 'Selebriti Premium' untuk program Celeb Nexus - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Syarizan (tengah) bersama antara barisan artis Aquila Emas yang telah menandatangani kontrak sebagai 'Selebriti Premium' untuk program Celeb Nexus - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Syarizan (tengah) bersama antara barisan artis Aquila Emas yang telah menandatangani kontrak sebagai 'Selebriti Premium' untuk program Celeb Nexus - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

TANPA sokongan peminat-peminat, sukar untuk seseorang yang bergelar selebriti itu berada di tahapnya sekarang. Tidak dinafikan, peminat adalah salah satu faktor penting bagi memastikan karier selebriti itu terus bertahan.

Justeru, untuk merapatkan lagi hubungan antara peminat dan selebriti pujaan mereka, agensi pembangunan dan pemasaran bakat, Aquila Emas mengambil inisiatif mewujudkan 'Celeb Nexus', sebuah program keahlian 'premium community' yang membolehkan ahli-ahli berinteraksi dengan selebriti-selebriti yang menyertai program ini menerusi pelbagai aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun 2009/2010.

Setakat ini, seramai 12 selebriti tanahair dan merupakan artis-artis di bawah naungan Aquila Emas telah menandatangani kontrak sebagai 'Selebriti Premium' untuk program Celeb Nexus ini iaitu Zizan Nin, Yasmin Hani, Tony Eusoff, Lana Nodin, Zed Zaidi, Airis Yasmin, Nazim Othman, Chelsia Ng, Shuba, Tania Zara, Isma Hanum dan Ainul Aishah.

Mengulas mengenai Celeb Nexus ini, kata Pengarah Urusan Aquila Emas, Syarizan Md Isa, penyertaan selebriti akan turut dibuka bukan saja di kalangan artis, malah individu-individu lain seperti ahli sukan, usahawan dan cendekiawan.

"Ini adalah satu cara yang baik untuk dekatkan selebriti dengan peminat. Memang kita tidak nafikan setiap selebriti khususnya golongan artis, mereka mempunyai 'fan club' sendiri, tetapi mungkin satu hari nanti bila selebriti-selebriti ini sudah tidak aktif, 'fan club' mereka juga berkemungkinan akan turut berkubur.

"Namun, menerusi Celeb Nexus ini, kita ingin selebriti tersebut akan sentiasa dekat dengan peminat dan terus berinteraksi dengan mereka meskipun kurang aktif lagi.

"Antara perancangan kami pada tahun ialah membawa selebriti di bawah Celeb Nexus mengadakan lawatan ke agensi-agensi media tempatan dan kita juga mungkin akan mengadakan 'treasure hunt' dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

"Setakat ini, semua artis Aquila Emas telah menyertai Celeb Nexus. Kami pernah berbincang dengan Agensi Angkasa Negara untuk turut libatkan angkasawan negara, tetapi memandangkan agensi itu adalah badan kerajaan, jadi kami perlu fikirkan pembabitan mereka dalam cara yang lain.

"Mungkin Celeb Nexus akan bekerjasama dengan sebuah yayasan di bawah agensi itu iaitu Yayasan Angkasawan.

"Tapi pada masa yang sama, kami masih membuka penyertaan dan menggalakkan selebriti lain untuk turut serta kerana program ini juga secara tidak langsung turut memberikan publisiti kepada mereka serta pendapatan bulanan tetap menerusi aktiviti-aktiviti yang mereka sertai.

"Dan kami akan mengumumkan secara rasminya nama-nama selebriti lain kelak sekitar Oktober nanti," kata Syarizan pada sidang media sempena pra-pelancaran kad keahlian Celeb Nexus, baru-baru ini.

Menurut Syarizan lagi, ahli-ahli Celeb Nexus yang terdiri daripada peminat-peminat selebriti dan program premium itu sendiri, mereka bukan saja mempunyai peluang untuk berinteraksi dan menjalankan aktiviti bersama selebriti, malah akan turut menikmati tawaran istimewa barangan dan perkhidmatan dari 'premium partners', dari masa ke semasa.

Setakat ini, Celebrity Fitness adalah salah satu rakan 'premium' yang telah mengesahkan pembabitan di dalam Celeb Nexus ini.

"Ahli-ahli yang kami gelar 'premium members' boleh menikmati pelbagai keistimewaan menerusi program Celeb Nexus ini, contohnya, pakej istimewa menyertai Celebrity Fitness.

"Ahli-ahli juga boleh mengakses maklumat tentang 'premium partners', pengumuman, selebriti dan aktiviti yang akan diadakan menerusi laman web www.celebnexus.net yang akan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan Julai ini," katanya yang mensasarkan sekitar 10,000 pendaftaran ahli untuk tahun pertama.

Keahlian dibuka kepada mereka berusia 15 tahun ke atas dan yuran pendaftaran yang dikenakan ialah RM100 manakala yuran tahunan pula adalah sebanyak RM30. Pendaftaran dan bayaran boleh dibuat menerusi laman web tersebut.

Ahli-ahli akan menerima pek permulaan yang antara lain mengandungi kad keahlian Celeb Nexus, barangan Celeb Nexus dan pelekat kereta.

Artikel Lain