suria

Rayqal bawa sinar baru dalam hidup Nora

Rayqal membawa cahaya baru dalam hidup ibu muda dan jelita ini.
Rayqal membawa cahaya baru dalam hidup ibu muda dan jelita ini.
Rayqal membawa cahaya baru dalam hidup ibu muda dan jelita ini.

HATI ibu mana yang tidak gembira tatkala anak yang dikandung selama sembilan bulan akhirnya selamat dilahirkan dan tubuh kecil si comel itu berada utuh di dakapannya.

Begitulah yang dirasai oleh aktres jelita Nora Danish dengan kelahiran cahaya mata sulungnya, Putera Rayqal Ramli pada tanggal 7 Januari lalu di Hospital Gleneagles, Ampang.

Biarpun terpaksa menanggung kesakitan selama tujuh jam, semuanya hilang begitu saja apabila melihat wajah bayi seberat 3.05kg itu yang dilahirkan kira-kira jam 11.50 malam.

"Alhamdulillah, sekarang keadaan saya baik dan sedang di dalam pantang. Malah, Rayqal juga sihat. Hidup saya kini juga lebih bahagia dengan kehadiran Rayqal.

"Seronok sebenarnya mempunyai anak sendiri. Pada awalnya, agak kekok juga untuk menguruskan Rayqal, maklumlah pertama kali dapat 'baby'. Macam-macam nak kena jaga, terutamanya bila dia meragam di tengah malam.

"Tapi ini satu pengalaman baru buat saya. Baru terasa hidup saya sudah lengkap. Dengan bantuan ibu, Salimah, lama-kelamaan saya sudah mampu uruskan segalanya sendiri," ujar Nora yang kini semakin ceria.

Pelakon berusia 26 tahun ini turut menjelaskan dia terpaksa mengambil keputusan untuk 'mendiamkan' diri dan enggan mendedahkan kisah kelahiran bayi lelaki itu pada awalnya kerana disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak begitu baik.

"Sebenarnya, ketika itu saya masih 'trauma' sejak melahirkan Rayqal. Saya bersalin secara normal, tetapi hampir tujuh jam juga saya bertarung nyawa sebelum bersalin.

"Saya masuk ke hospital tersebut sekitar jam 11 pagi, hanya pada pukul 4.30 petang barulah proses kontraksi berlaku sehinggalah saya selamat melahirkan Rayqal.

"Itu yang membuatkan saya 'diam' dulu selepas itu. Bukan sengaja untuk berahsia, tetapi saya ingin berehat dulu ketika ini," kata pelakon yang melonjak namanya menerusi sitkom Puteri.

Suami jalankan tanggungjawab sebagai bapa

Nama Nora pernah menjadi bualan 'hangat' tahun lalu gara-gara perceraiannya dengan Rizal Ashram Ramli sewaktu usia kandungannya telah mencecah empat bulan ketika itu.

Nora dan Rizal bernikah pada Jun 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pasangan ini bagaimanapun bercerai dengan talak dua pada tahun lalu setelah mahkamah memutuskan lafaz cerai yang dibuat oleh Rizal pada Februari dan Jun lalu adalah sah.

Enggan berbicara tentang 'episod' lama itu, kata Nora, dia ingin menjalani hidup baru sambil 'ditemani' Rayqal. Malah, tutur pelakon berasal dari Kajang, Selangor ini, hubungannya bersama bekas suami juga masih baik.

"Rizal sendiri ada bersama dengan saya ketika di dalam bilik bersalin dan bersama-sama menyambut kelahiran Rayqal. Malah, nama bayi ini juga kami yang pilih bersama.

"Dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai bapa. Kerap juga dia datang melawat. Malah, ibu mertua saya juga hampir setiap hari akan datang melawat saya dan 'baby'.

"Bagi saya, perkara yang lepas biarlah ia berlalu pergi. Apa yang penting, saya tidak mahu bermusuh dengan dia dan akan bersama-sama menjaga Rayqal," kata Nora.

Ditanya sama ada mereka mungkin akan merujuk semula dengan kehadiran Rayqal itu, sambil ketawa, Nora menjawab:

"Tak mahulah cakap tentang perkara itu. Bagi saya, sekarang ini saya hanya mahu fokus pada anak saya dan karier lakonan," ujarnya ringkas.

Kata Nora lagi, dia juga akan kembali aktif dalam bidang lakonan setelah tamat pantang nanti. Projek pertamanya ialah sitkom Puteri yang akan memasuki musim ke-11.

"Banyak tawaran yang terpaksa saya tolak ketika mengandung dulu. Insya-Allah selepas ini, saya akan kembali aktif. Mana-mana tawaran berlakon yang tidak memerlukan saya berjauhan begitu lama dengan anak, saya akan pertimbangkan.

"Ada juga sebuah tawaran filem dari Singapura yang saya terima. Ia sebuah filem cinta dan dijadualkan menjalani penggambaran di sana pada bulan Mac ini.

"Tetapi saya belum beri kata putus lagi. Macam-macam benda kena saya fikirkan. Lagipun Rayqal masih kecil. Saya tidak mahu harapkan ibu saya saja yang jaga.

"Kalau boleh, biarlah saya sendiri sebagai ibunya memberikan perhatian yang lebih kepadanya," kata Nora yang kini menetap bersama ibunya.

Artikel Sebelum

Siapa yang bodoh sebenarnya?

Artikel Berikut

Artikel Lain