suria

Star Wars Episod V:The Empire Strikes Back Dinobat Filem Terhebat Sepanjang Zaman

Adegan dalam Episod V filem Star Wars yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh mana-mana peminat filem tersebut iaitu ketika Darth Vader (kiri) mendedahkan rahsia kepada padawan Jedi, Luke Skywalker (kanan) yang dia adalah anaknya sendiri.

FILEM 'Star Wars Episod V:The Empire Strikes Back' telah dinobatkan oleh lebih 250,000 peminat filem sebagai filem terhebat sepanjang masa.

Filem tersebut yang ditayangkan di pawagam di seluruh dunia pada 1980 - tiga tahun selepas penayangan filem pertama Star Wars iaitu Episod IV, mengungguli 301 judul yang disenaraikan oleh majalah filem dan hiburan popular Hollywood, Empire.

Ia malah menewaskan filem klasik sepanjang masa arahan Francis Ford Coppola iaitu kisah mafia 'The Godfather' yang berada di tempat kedua.

Filem Batman, 'The Dark Knight' berada di tempat ketiga dan yang agak mengejutkan ialah pemilihan filem 'The Shawshank Redemption' di tempat keempat.

Filem cult, arahan Quentin Tarantino, 'Pulp Fiction' berada di tangga kelima.

Pencipta Star Wars, George Lucas berkata, ia adalah sesuatu yang istimewa untuk melihat filem karyanya berada di puncak sebagai filem terhebat sepanjang masa pilihan peminat.

George Lucas

"Saya berpendapat, para peminat filem memilih The Empire Strikes Back kerana sebahagiannya disebabkan susuk hitam dan gelap yang menyelubungi plot ceritanya," ujar Lucas.

Dalam episod inilah, Darth Vader yang melambangkan kuasa jahat alam semesta mendedahkan kepada pelatih Jedi, Luke Skywalker, yang dia adalah anaknya.

Dialog itu dirahsiakan sehingga ke peringkat para pelakon lain pun tidak mengetahui yang itu akan berlaku.

Kata-kata itu sangat mengejutkan sehinggakan para penonton enggan menerima ia adalah satu hakikat hitam dalam hidup Luke Skywalker yang membawa watak seorang remaja dan pahlawan jedi yang bersih dari segala kejahatan dan ketamakkan kuasa.

George Lucas sendiri mengatakan yang dia tidak pernah merancang untuk menerbitkan sekuel filem ini tetapi ia akhirnya bertukar menjadi filem terhebat sepanjang zaman kerana setiap episod mempunyai kejutan plot dan jalan cerita yang menarik dan tersendiri.

Ketua Pengarang Empire, Mark Dinning berkata: "Pemilihan 'The Empire Strikes Back' sebagai filem terhebat sepanjang zaman yang dibuat oleh ratusan ribu peminat filem menunjukkan yang filem ini telah merentasi masa dan era yang berlainan apatah lagi JJ Abrams sedang menyiapkan Episod VII yang akan ditayangkan tahun hadapan.

Ia sekali gus mengingatkan kita semua betapa hebat dan besarnya pengaruh Star Wars ke atas minda peminat filem dari dulu sehingga sekarang."

Bukan setakat itu sahaja malah para peminat turut memilih satu lagi filem Star Wars iaitu Episod IV: A New Hope dalam senarai 10 filem terhebat sepanjang zaman.

BERIKUT ADALAH SENARAI 10 FILEM TERHEBAT SEPANJANG ZAMAN PILIHAN 250,000 ORANG PEMINAT FILEM:

1. Star Wars Episod V:The Empire Strikes Back

2. The Godfather

3. The Dark Knight

4. The Shawshank Redemption

5. Pulp Fiction

6. Star Wars: Episode IV - A New Hope

7. The Lord Of The Rings: The Fellowship Of The Ring

8. Jaws

9. Indiana Jones:Raiders Of The Lost Ark

10.Inception


Artikel Lain