suria

Bank Rakyat Kekalkan Status Bank Koperasi Patuh Syariah Terbaik Dunia

PETALING JAYA: Bank Rakyat yang juga bank koperasi Islam, akan terus mengekalkan kedudukannya sebagai bank koperasi patuh Syariah terkemuka dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Bank Rakyat ketika ini berada di kedudukan ke-270 daripada 1,000 bank, namun di tempat ke-12 dalam kedudukan bank koperasi global.

"Dalam kalangan 12 bank koperasi, kita adalah satu-satunya bank koperasi yang patuh Syariah dan terbaik di dunia dan akan terus mengekalkan kedudukan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan langkah penjenamaan bank berkenaan di Balai Berlepas Skypark, Subang, dekat sini, Jumaat.

Hamzah turut mencadangkan agar bank itu memperkenalkan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang inovatif bagi mendapa kepercayaan rakyat tempatan serta asing.

Sementara itu, Bank Rakyat hari ini mempertingkatkan usahanya bagi mengukuhkan penjenamaan itu menerusi penajaan dan penamaan semula balai berlepas Subang Skypark kepada Balai Berlepas Domestik Bank Rakyat-SkyPark.

Selain menjadi antara inisiatif strategik meningkatkan jenama serta imej bank, penajaan Bank Rakyat-Balai Berlepas SkyPark itu turut mewakili tanggungjawab sosial koporat bank itu dalam pembangunan sektor pengangkutan awam.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata pembabitan bank itu di terminal Skypark berkenaan akan mengembangkan lagi asas pelanggan selain membantu pengukuhan jenamanya dan meraih pasaran baharu dalam kalangan pengguna terminal itu.

"Menerusi usaha penjenamaan selama setahun setengah ini, kita berharap dapat menambah pelanggan kepada 10 juta orang menjelang 2020 berbanding enam juta orang," katanya.

Bilangan penumpang termasuk kalangan penggiat perniagaan dan profesional di terminal Skypark, melebihi 3.2 juta orang pada 2015 dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

Bersempena usaha penjenamaan itu, Bank Rakyat turut memperkenalkan 1Pay iaitu perkhidmatan perbankan elektronik yang menghubungkan perbankan I-akaun semasa pelanggan, sekaligus membolehkan mereka melakukan transaksi secara pantas, mudah dan selesa.

Bank Rakyat

Artikel Lain