suria

Miti Diminta Semak Semula Bayaran AP Import Kereta

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) melawat pameran selepas merasmikan Wisma Rahman Brothers di Seksyen 22 hari ini. Turut hadir Pengerusi Eksekutif Rahman Brothers Motor Sdn Bhd Datuk Abd Rahman Ibrahim (kiri).

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) diminta menyemak semula kadar bayaran permit import (AP) kereta yang dilihat membebankan pengimport kenderaan berikutan ketidaktentuan ekonomi semasa.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Rahman Brothers Sdn Bhd, Datuk Abd Rahman Ibrahim berkata, selain menanggung kadar bayaran AP yang tinggi, pengimport juga berdepan dengan kemerosotan nilai ringgit, menyebabkan kos operasi meningkat.

"Syarikat Rahman Brothers Motor umpamanya, telah membayar sebanyak RM48.24 juta sejak dasar AP ini dilaksanakan. Kami membayar cukai import, cukai syarikat dan baru-baru ini GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) pula.

"Akibatnya kemampuan kami untuk menjana modal bagi meningkatkan perniagaan dalam bidang perniagaan lain mengecil. Oleh itu diharap pihak kementerian dapat timbang semula sama ada untuk hapuskan bayaran ini atau mengurangkannya, sekurang-kurangnya bagi tempoh sehingga ekonomi negara kembali stabil," katanya dalam sidang media selepas perasmian Wisma Rahman Brothers, di sini, Khamis.

Bangunan bernilai RM20 juta itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Abd Rahman bagaimanapun yakin syarikat akan dapat mendepani keadaan ekonomi semasa, mengulangi kejayaan mengharungi kegawatan ekonomi sebanyak dua kali sebelum ini.

Katanya sekalipun berdepan situasi ekonomi tidak memberangsangkan, syarikat bumiputera itu kekal komited dalam sumbangan kepada masyarakat dengan yang terkini dalam industri pendidikan dan pelancongan di Kemboja.

"Kenapa pilih negara ini? Kerana kami ingin bantu masyarakat Islam di sana yang hidup dalam kesempitan dan kami juga dalam proses untuk terlibat dalam bidang perubatan pula di sana (Kemboja)," katanya.

Terdahulu, Mustapa dalam ucapannya berkata inisiatif kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah melahirkan ramai bumiputera yang berjaya dalam bidang perindustrian dan perniagaan.

Beliau berkata tidak banyak negara mempunyai dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membela dan membangunkan bumiputera seperti di Malaysia.

"..dan ini (DEB) yang membolehkan bumiputera berjaya. Tanpa DEB maka kita, bumiputera, tidak ada pada kedudukan sekarang. Kerajaan memberi jaminan akan terus pertahan dasar yang bantu bumiputera walaupun kita tidak boleh lari daripada cabaran seperti kegawatan ekonomi dan untuk pastikan ini kita kena ada kerajaan yang kuat serta kukuh untuk terus mempertahankan kestabilan ekonomi.

"Sehubungan itu, bumiputera perlu bersama kerajaan dalam menghadapi cabaran ini dan jika kerajaan terus menerima sokongan daripada golongan bumiputera, kita boleh pertahan kestabilan negara," katanya.-- Bernama


Wisma Rahman Brothers, AP, Miti

Artikel Sebelum

KWSP Cadang Jual Hartanah Di UK

Artikel Berikut

Artikel Lain