suria

AmInvest Menang Anugerah Syarikat Pengurusan Pelaburan Terbaik Malaysia Kali Ke-4

KUALA LUMPUR: AmInvest memenangi Anugerah Syarikat Pengurusan Pelaburan Terbaik Malaysia bagi kali keempat pada Anugerah Pengurusan Pelaburan Kewangan Dunia 2015 yang berpangkalan di United Kingdom.

Cabang pengurusan dananya, AMMB Holdings Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata pengiktirafan itu menjadikan ia satu-satunya syarikat pengurusan pelaburan dalam sejarah anugerah seluruh dunia menerima dan mengekalkan standard tinggi seumpama itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Maznah Mahbob berkata AmInvest boleh menyediakan nilai menarik dalam pasaran global, kedua-dua pelaburan konvensional dan juga patuh syariah dari segi risiko dan pulangan dalam semua kelas aset.

"Pada masa hadapan, kami kekal menumpu untuk terus mengembangkan pelaburan pelabur kami dengan menyediakan bukan sahaja prestasi pelaburan yang konsisten tetapi penyelesaian pelaburan yang boleh memanfaatkan peluang dalam semua keadaan pasaran," katanya.

AmInvest berkata jumlah aset di bawah pengurusannya (AUM) berkembang pada purata 12 peratus setahun sejak 2009.

"Perniagaan patuh syariah mencatatkan purata pertumbuhan 39 peratus bagi tempoh yang sama.

"Pada Ogos 2015, AUM berjumlah kira-kira RM38 bilion, di mana RM7 bilion patuh Syariah," kata syarikat itu. -- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain