suria

Pengimport Daging, Ternakan Hidup Bumiputera Dicadang Tubuh Konsortium

PUTRAJAYA: Syarikat pengimport daging dan ternakan hidup Bumiputera dicadangkan bersatu melalui penubuhan konsortium untuk pengurusan tempahan yang lebih efektif dan mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dalam urusan pengimportan dan pembekalan produk.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kementerian memberikan tempoh seminggu kepada mereka mempertimbangkan cadangan itu yang hanya memerlukan penyertaan sekurang-kurangnya lima syarikat.

"Syarikat dapat menggembleng sumber di bawah satu bumbung bagi urusan tempahan daging dan ternakan hidup dengan lebih efektif sekali gus mengelak terbeban harga tinggi yang dikenakan orang tengah," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 25 pengimport ternakan hidup Bumiputera di sini, Selasa, Tajuddin berkata, melalui konsortium, syarikat kecil yang menghadapi masalah kewangan dapat dibantu membuat tempahan dalam kuantiti besar.

Menurutnya, kini penglibatan syarikat Bumiputera dalam perniagaan yang dianggarkan RM2 bilion setahun itu hanya sekitar 10 peratus.

Sektor penternakan menyumbang 28 peratus kepada keperluan daging dalam negara dengan selebihnya ditampung oleh diimport, katanya.

Mengakui bukan mudah menyatukan peniaga di bawah satu bumbung, Tajuddin berkata, tiada syarikat yang akan dimanipulasi syarikat lain dan peserta juga akan menikmati pelbagai faedah daripada konsortium itu.

"Jika mereka bersetuju membentuk konsortium, kita sedia menjadi perantara dalam menjalankan rundingan dengan institusi kewangan seperti Agrobank untuk menghulurkan bantuan," katanya.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain