suria

Agro Capital Peroleh Tanah Bagi Projek Akuakultur Di Pekan

KUALA LUMPUR: Agro Capital Management Bhd (ACM) ditawarkan ladang berkeluasan 40.47-hektar di Sungai Miang, Pekan, bagi projek penternakan akuakultur di Pahang.

Tanah yang juga sebahagian daripada projek akuakultur seluas 108.46 hektar di kawasan berkenaan, ditawarkan oleh Rumpun Timur Sdn Bhd iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang.

ACM akan mengusahakan penternakan komersial udang bagi tujuan eksport serta pengedaran kepada peruncit tempatan.

Pengerusi Eksekutif ACM, Datuk Mohd Nasir Baba menyifatkan perolehan tanah itu sejajar wawasan syarikat untuk memperluaskan operasi akuakultur serta menjadi syarikat akuakultur yang bersepadu.

"Baki tanah itu akan membolehkan kami mempelbagaikan hasil pendapatan daripada ternakan udang itu kepada makanan ikan bagi tujuan eksport dan pasaran tempatan," katanya.

Tanah itu adalah tambahan kepada tanah seluas 20.23 hektar yang diperolehi  ACM bagi projek akuakultur berkenaan, sekaligus menjadikan keluasan tanahnya di Pekan kepada 60.7 hektar.

Akuakultur semakin menjadi pilihan bagi penghasilan ikan serta hidupan marin menerusi kaedah mampan untuk kegunaan tempatan serta eksport yang tidak memberi tekanan kepada populasi hidupan marin semula jadi.

Agro Capital

Artikel Lain