suria

Usaha Bersama Jadikan Apec Rantau Paling Dinamik Di Dunia

BEIJING: Para pemimpin 21 ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), yang memuktamadkan mesyuarat mereka di sini, pada Selasa, telah membuktikan bahawa dengan usaha bersama, rantau ini telah menjadi yang paling dinamik di dunia, menawarkan potensi pertumbuhan amat besar.

Para pemimpin komited untuk berganding bahu membentuk masa depan menerusi perkongsian Asia Pasifik dalam semangat saling hormat menghormati dan saling percaya, keterangkuman, kerjasama sama-sama menang dan memberi sumbangan kepada pembangunan jangka panjang serta kemakmuran bersama di rantau ini.

"Belum pernah sebelum ini Dunia amat memerlukan Asia Pasifik yang harmoni, stabil dan makmur.

"Kami berjanji untuk melaksanakan pembaharuan Apec, menambah baik mekanisme kerjasamanya dan melaksanakan matlamat dan pelan tindakan, dengan sasaran memastikan perkumpulan ini memainkan peranan lebih aktif dalam menyelaras dan menerajui Asia Pasifik.

"Kami memuji peranan utama yang dimainkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan Apec dalam mengukuhkan perkongsian awam-swasta dan menggalakkan kerjasama Apec dalam pelbagai bidang.

"Kami juga berjanji untuk mengukuhkan sinergi Apec dengan organisasi dan forum kerjasama antarabangsa dan serantau relevan menerusi penyelarasan dan kerjasama, serta membolehkan perkumpulan memainkan peranan penting dalam sistem tadbir urus global," kata para pemimpin dalam satu kenyataan bersama.

Para pemimpin berkata mereka berpuas hati dengan pencapaian positif, bermakna dan yang membuahkan hasil daripada mesyuarat ini dan menghargai usaha keras China untuk memastikan kejayaan penganjurannya.

"Kami komited untuk menyokong tuan rumah mesyuarat Apec pada masa depan, termasuk Peru, Vietnam, Papua New Guinea, Chile, Malaysia, New Zealand dan Thailand, yang akan menganjurkan mesyuarat ini masing-masing pada 2016, 2017, 2018, 2019, 2020, 2021 dam 2022," kata mereka.

Filipina akan menjadi tuan rumah mesyuarat Apec tahun depan.

Antara sorotan utama bagi Malaysia ialah mesyuarat dua hala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan beberapa pemimpin.

Mesyuarat dengan Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menterinya Li Keqiang adalah yang paling istimewa, kata Najib.

"Kita dapat sesuatu yang istimewa kerana dalam kalangan pemimpin sedia ada, saya satu-satunya pemimpin yang dapat berjumpa kedua-dua mereka.

"Pemimpin lain ada berjumpa, tetapi hanya salah seorang daripada mereka sahaja," kata beliau.

Semasa mesyuarat dua hala dengan Najib, Xi menyifatkan Malaysia sebagai rakan karib dan rakan kongsi yang boleh dipercayai.

Xi berkata ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara merupakan lembaran yang menakjubkan dalam sejarah, dan hubungan amat baik yang dinikmati oleh kedua-dua pihak harus dijadikan sebagai model hubungan antara kedua-dua negara.

Beliau juga berkata hubungan antara kedua-dua negara itu telah meningkat ke takuk yang lebih tinggi, yang turut dipersetujui oleh Li.

Najib dan Xi membincangkan pelbagai isu, termasuk pendekatan untuk menangani isu Laut China Selatan, kehilangan pesawat MH370, pembiayaan kerja pembinaan bagi universiti utama China, kampus Xiamen University Malaysia, pembentukan kerjasama pertahanan yang lebih erat antara kedua-dua negara.

Sementara itu dalam pertemuan beliau dengan Li, perdana menteri China itu memberi tahu Najib bahawa negara tersebut akan menyokong pembinaan Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan, serta terus menggalakkan syarikat China melabur di Malaysia.

Li juga melahirkan kesediaan China untuk aktif menyertai projek pembinaan landasan kereta api di Malaysia, bagi mengukuhkan lagi kerjasama kewangan dengan Malaysia kerana kedua-dua negara baru sahaja memeterai perjanjian penyelesaian penjelasan renminbi semasa kunjungan Najib ke sini.

Najib bertemu Li diikuti mesyuarat bersama Xi dan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, CY Leung.

Kemudiannya, pada mesyuarat dua hala bersama Presiden Russia, Vladimir Putin, kedua-dua pemimpin berbincang mengenai isu MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.

Najib menggesa Putin membantu memberikan kebenaran masuk sepenuhnya ke tapak nahas apabila satu siasatan awal merumuskan bahawa pesawat itu ditembak jatuh oleh 'objek berkuasa tinggi'.

Putin berkata Russia akan membantu menyelesaikan masalah itu bersama Malaysia.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang termasuk 44 rakyat Malaysia dan anak kapal, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembah jatuh di ruang udara negara tersebut.

Apec, China

Artikel Lain