suria

Eksport Perabot Malaysia Ke AS Meningkat

KUALA LUMPUR: Eksport perabot Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) mengalami permintaan kukuh berdasarkan angka eksport pada enam bulan pertama tahun ini.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Los Angeles, Rusiah Mohamed berkata pemulihan ekonomi AS secara beransur-ansur telah membawa kepada peningkatan dalam pendapatan boleh guna dan jualan rumah, yang menyebabkan peningkatan jualan produk kelengkapan rumah termasuk perabot.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdagangan AS menunjukkan negara itu mengimport perabot bernilai RM1.28 bilion dari Malaysia dalam tempoh enam pertama bulan pertama tahun ini, meningkat 8.18 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dan menyumbang 1.6 peratus daripada bahagian pasaran.

Matrade dalam satu kenyataan, berkata AS kekal antara pasaran perabot terbesar Malaysia.

Import perabot dan kelengkapan tempat tidur dunia ke AS naik 10.4 peratus kepada RM80.68 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Perabot bilik tidur kayu adalah produk eksport utama ke AS dengan nilai eksport sebanyak RM550 juta dalam sektor eksport (43.1 peratus daripada jumlah eksport), diikuti oleh lain-lain jenis perabot kayu (RM186 juta, 14.6 peratus); rangka kayu dan perabot upholsteri (RM104.29 juta, 8.2 peratus) serta perabot dan peralatan (RM95.62 juta, 7.5 peratus).

China kekal sebagai sumber terbesar import perabot kontena ke Amerika Syarikat, menguasai 70.7 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti oleh Vietnam dan Malaysia.

Matrade

Artikel Lain