suria

[V] Kucing berdarah nyaris kena lenyek tengah jalan... wanita ini tak sangka hajat akhirnya tertunai, siap dapat si bulus mata biru!

Wanita ini selamatkan kucing setelah sekian lama berhasrat membela si bulus.

MENJADIKAN kucing sebagai haiwan peliharaan pasti membuatkan seseorang terhibur kerana telatahnya yang mencuit hati.

Mungkin ada yang berhasrat untuk membela si bulus tetapi belum berkesempatan.

Namun rezeki memihak kepada Zurainiza Zulkifli, 32, apabila dipertemukan dengan seekor kucingr dengan cara yang tidak disangka-sangka.

Dalam satu video yang tular, Zurainiza dilihat menyelamatkan seekor anak kucing yang terkulai layu di tengah jalan kerana mengalami kecederaan.

"Masa tu saya bersama dua anak dalam perjalanan ke kedai. Tiba-tiba ada 'benda' macam bulat di tengah jalan... saya tak perasan itu kucing.

"Bila saya memberhentikan kereta di tepi jalan, dan pergi tengok baru sedar rupa-rupanya seekor anak kucing.

"Sebaik dia kecil je, jadi bila saya lalu atas dia, anak kucing tu tak kena langgar pun dengan kereta saya," kata Zurainiza ketika dihubungi mStar.

Anak kucing yang diselamatkan Zurainiza kini hidup dengan sihat.

Mendapati anak kucing itu masih bernyawa, Zurainiza terus membawanya pulang untuk dijaga dan diberi rawatan.

"Kucing tu cedera di bahagian hidung. Saya rasa dia tidur dalam enjin kereta dekat rumah, jadi apabila kereta dah bergerak dia tak bangun lagi.

"Bila dah sampai dekat tengah jalan baru dia sedar dan mesti terkejut bunyi enjin yang bising.

"Itu yang membolehkan kucing terjatuh atas jalan. Waktu jatuh tu hidung dia terhantuk, itu yang berdarah sikit," katanya

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Rezeki bela 'kucing tinggal' walau poket kering, wanita terkejut lulus ujian SPA selepas 6 tahun mencuba

ARTIKEL BERKAITAN: [V] "Saya period, muka dia kecewa" - Suami nak sangat anak, isteri syukur dapat beri hadiah paling bermakna... sebelum ini cuma main dengan kucing

Zurainiza mengakui dia kecut perut ketika mengambil anak kucing itu di tengah jalan kerana tidak lama selepas itu, sebuah bas melewatinya.

"Saya memang terkejut. Menggigil juga suara saya. Beberapa saat selepas ambil anak kucing tu ada bas lalu tepi.

"Macam mana la nasib anak kucing tu dan nasib saya kalau kena langgar," ujar Zurainiza bersyukur kerana semuanya selamat.

Loki suka bermain-main dengan Zurainiza di halaman rumah ketika waktu petang.

Menurut Zurainiza lagi, dia bertuah kerana anak kucing itu bukan sekadar comel, malah dikurniakan sepasang mata biru yang cantik.

"Saya tanya kawan, dia kata itu mungkin kucing baka Ragdoll. Jenis kucing 'kayangan' juga.

"Anak kucing itu kalau dekat tengah cahaya matahari memang mata dia bersinar warna biru. Tapi kalau dalam rumah gelap tak nampak sangat.

"Anak kucing tu saya berikan nama dia Loki. Idea dari suami sebab dia kucing jantan," katanya yang merupakan suri rumah.

Nak sangat ada kucing sendiri. Tuhan hadirkan kucing dalam hidup saya dengan cara saya menyelamatkannya.

ZURAINIZA ZULKIFLI

Zurainiza berkata, dia sebenarnya sudah lama mahu membela kucing tetapi hasrat itu tidak dapat dipenuhi disebabkan oleh kekangan tertentu.

"Masa saya kanak-kanak dulu, mak ayah ada bela kucing. Saya sempat merasa kejap macam mana jaga kucing.

"Teringin nak ada kucing sendiri cuma belum tiba masanya. Nak sangat ada kucing kesayangan sendiri.

"Tuhan hadirkan kucing dalam hidup saya dengan cara saya menyelamatkannya," katanya yang mengucapkan kesyukuran.

Zurainiza mahu menjadikan Loki sebagai kucing rumah kerana risau akan keselamatannya jika dilepaskan di luar.

Zurainiza kini berguru dengan rakannya yang merupakan pencinta kucing, mempelajari banyak tip dan panduan membela si bulus.

Menurutnya, dia percaya kucing adalah pembawa rezeki dan merasakan kehidupannya kini lebih bermakna.

"Sebelum ni, kewangan saya tak berapa stabil, tapi selepas ada Loki, saya rasa hidup saya seperti dipermudahkan. Ada je rezeki yang datang.

"Alhamdulillah, cantik tuhan aturkan takdir ni," kata Zurainiza menutup bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain