suria

Selalu merungut penat kerja, nak cuti... sekali dapat ‘rehat panjang’! Wanita anggap 2 kali kemalangan ada hikmah

Awin ditimpa kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

SUNGGUHPUN sudah berhati-hati, dalam keadaan tertentu kecelakaan tetap tidak dapat dielakkan gara-gara sikap sesetengah pemandu jalan raya lain yang cuai.

Itulah nasib yang menimpa wanita ini ekoran tindakan seorang pemandu kereta yang tidak memberikan isyarat (signal) sewaktu membelok masuk ke simpang.

Disebabkan kecuaian pemandu kereta tersebut, dia tidak dapat mengelak sehingga motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Awin itu berkata, ketika kejadian, dia sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke rumah.

"Ketika itu sekitar pukul 7.15 malam. Saya bawa motor berseorangan dan santai-santai, memang tak laju pun. Tiba-tiba ada kereta masuk simpang tak bagi signal.

"Saya langsung tak sempat nak brek dan tergolek atas jalan. Nasib baik saya tak bawa laju. Saya menunggang slow dan santai saja, tapi disebabkan ada yang tak berhati-hati, orang lain pula yang jadi mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Inai masih merah, pengantin baru pengsan di hospital selepas tengok keadaan suami kemalangan - “Pihak sana seolah tak hirau keadaan kami”

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sedih tengok rider ini kemalangan, tapi sahabat dedah mesej dihantar kepadanya sebelum mula kerja 10 kali lebih menyayat hati

"Saya memang tak boleh bangun sebaik terjatuh, saya fikir kaki dah patah. Abang rider dan orang-orang awam yang melalui kawasan itu yang tolong angkat saya ke tepi jalan,"ujarnya ketika mengimbas kembali insiden yang berlaku pada 22 September lalu.

Menurut Awin, dia kemudian dihantar ke klinik terdekat menaiki kereta milik seorang warga emas yang turut berada di tempat kejadian ketika itu.

accident 2

Tisu pada bahagian buku lali sebelah kanan kakinya terkoyak akibat kemalangan tersebut.

Bagaimanapun disebabkan kecederaan yang dialaminya memerlukan pemantauan doktor pakar, dia kemudian dirujuk ke sebuah hospital untuk rawatan lanjut.

"Kaki kanan saya terutama di buku lali cedera dan bengkak. Pada mulanya doktor buat x-ray tapi disebabkan nak dapatkan situasi yang lebih terperinci, doktor buat MRI (Magnetic Resonance Imaging) dan Computerized Tomography (CT) Scan.

"Keadaan keseluruhan mungkin nampak tak teruk mana, tapi kaki saya sakit sampai tak boleh menapak dengan betul. Rupa-rupanya tisu di bahagian buku lali terkoyak," ujar wanita berusia 24 tahun ini.

Awin yang berkerja sebagai pembantu gudang berkata, doktor memaklumkan kecederaan kakinya mungkin mengambil masa untuk sembuh dan buat masa ini, dia perlu berjalan menggunakan tongkat.

accident 4

Ketika menjalani prosedur MRI.

"Alhamdulillah kini dah dua minggu selepas kemalangan. Keadaan kaki makin pulih, bolehlah berjalan sikit-sikit. Doktor beri cuti sakit selama tiga minggu, selepas itu kena follow up semula.

"Kalau ikutkan, doktor kata nak sembuh ambil masa juga sebenarnya. Bergantung kepada hasil follow up nanti.

Memang trauma... mungkin selepas dah sembuh ni, saya tak bawa kereta dulu ke tempat kerja.

AWIN

"Alhamdulillah, pemandu kereta itu menanggung kos rawatan dan juga baik pulih motor saya. Dia pun meminta maaf di atas kesilapannya. Semuanya selesai dengan baik," ujarnya yang menetap di Shah Alam.

Tidak menyangka perkongsiannya di laman TikTok meraih melebihi 412,000 jumlah tontonan, Awin berkata dia sekadar mahu mengabadikan insiden itu di laman sosial.

"Tak sangka pula mengundang perhatian ramai... malah mereka turut berkongsi pengalaman ditimpa kemalangan di laman komen. Secara tak langsung, video ini juga bertujuan nak sampaikan mesej kepada pengguna jalan raya.

accident 3

Awin perlu menjalani rawatan susulan dari semasa ke semasa.

"Semasa di atas jalan raya, sentiasalah peka dan extra berhati-hati. Saya ni boleh dikatakan dah cukup hati-hati, lebih-lebih lagi sebelum ini pun pernah kemalangan. Tapi kena juga.

"Memang trauma... mungkin selepas dah sembuh ni, saya tak bawa kereta dulu ke tempat kerja. Mak saya pun bimbang.

"Tapi mungkin ada hikmahnya juga... sebelum ini saya selalu kata penatnya kerja dan nak bercuti. Tengok-tengok tiga minggu terus dapat cuti," ujarnya sambil berseloroh.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain