suria

Pengantin baru selongkar sampah cari cincin hilang! Suami kata terlucut sebab jari isteri runcing, dah kurus sebelum kahwin

Amy berkongsi pengalaman bersama isteri mencari cincin tunang dalam tong sampah.

BAYANGKAN cincin emas pemberian suami anda hilang secara tiba-tiba.

Tentunya panik, boleh tak tidur malam dibuatnya!

Begitulah pengalaman yang dikongsi oleh Felamy Asmawe Mohd Faizan mengenai cincin milik isterinya dalam kejadian di Bagan Datuk, Perak pada Ahad malam lalu.

Mengimbas kembali detik sebelum kehilangan aksesori tersebut yang merupakan cincin tunang, lelaki berusia 31 tahun itu memberitahu dia dan isteri menikmati makan tengah hari berdekatan dengan sebuah kolej.

"Isteri datang ambil saya keluar sekejap dari tempat kursus. Dalam keadaan kelam-kabut, kami berdua berkongsi makan pek lunch nasi yang saya dapat... makan dalam kereta je sebelum isteri hantar saya semula ke tempat kursus.

"Malam tu di rumah selepas Maghrib, muka isteri takut-takut apabila saya masuk ke bilik tidur. Biasanya kalau muka cuak tu, mesti ada sesuatu isteri nak beritahu saya tapi tak berani.

"Apabila saya tanya kenapa, isteri diam. Tapi tak lama kemudian dia terpaksa cakap juga yang cincin masa kami bertunang tu hilang," katanya ketika dihubungi mStar.

cincin tunang 5

Sewaktu majlis pertunangan pada 4 Mei 2022.

Lebih mesra disapa Amy, dia mengakui panik ketika itu namun cuba mengambil pendekatan untuk bertenang dan memikirkan langkah terbaik yang perlu dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri selimut hilang dari kondo terjawab! Guru 'kaki' hiking gigih masuk hutan cari comforter kesayangan - "Nak pergi malam, takut ada yang ikut balik"

ARTIKEL BERKAITAN: Penat tonyoh baju guna tangan, isteri jual cincin nikah beli mesin basuh! Suami ganti lebih mahal selepas bisnes crepe 'kencang'

"Mulanya geram juga, tapi saya ni susah nak marah. Saya kata kita cuba cari dulu, kalau ada rezeki jumpa, kalau tak ada rezeki kita sampai situ.

"Isteri syak cincin hilang masa dia buang bungkusan nasi dalam tong sampah. Saya ajak dia pergi ke tempat tu semula dan cari," ujarnya yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor.

cincin tunang 4

Amy dan isteri mendirikan rumah tangga pada 16 September 2022.

Mujur jarak dari rumah sewa dengan lokasi 'tong sampah' hanya kira-kira tiga minit dengan menaiki kereta, namun kata Amy, hujan sangat lebat pada malam itu.

"Setibanya di sana, saya berhenti kereta tapi belum sempah nak parking, isteri dah cepat-cepat keluar dan berlari ke tempat tu dalam keadaan basah kuyup sebab hujan lebat.

"Saya buat rakaman, dan masa tu kami tak fikir busuk ke jijik ke, tangan masuk dalam tong sampah mencari cincin di celah-celah sampah dan sisa makanan orang lain," katanya yang bertunang pada 4 Mei 2022 dan baru mendirikan rumah tangga pada 16 September lalu.

cincin tunang 1

Penemuan cincin tunang di dalam tong sampah.

Menurut Amy, mereka akhirnya menemui bungkusan makanan yang dibuang dan masih terdapat sisa nasi berlauk ikan keli masak sambal dan sayur masak lemak, serta beberapa biji kuih.

"Kami berdua ni memang jenis makan sikit dengan kelam-kabut lagi, itu yang tak habis. Selongkar dalam bungkusan tu tetap tak ada.

Mulanya geram juga, tapi saya ni susah nak marah. Saya kata kita cuba cari dulu.

AMY

"Saya kemudian sambung buat rakaman dengan pasang flash (lampu kamera telefon). Apabila hala ke dalam tong sampah je, terus nampak cincin tu terselit pada plastik makanan lain.

"Isteri sangat gembira dapat jumpa cincin. Dia cepat-cepat tadah tangan pada air hujan untuk cuci. Air hujan je pun, sampah busuk pun dia boleh seluk," ujarnya secara berseloroh.

cincin tunang 6

Amy (kiri) memberitahu jari isterinya semakin runcing menjelang hari perkahwinan.

Menurut Amy yang berniaga sendiri, cincin tersebut tercicir disebabkan ia terlucut daripada jari isterinya, dipercayai ketika hendak membuang bungkusan makanan tengah hari.

"Jari isteri makin runcing selepas berusaha mengurangkan berat badan menjelang hari perkahwinan kami. Jadi bila makin kurus, cincin pun makin longgar untuk pakai cincin.

"Masa nikah saya kasi gelang. Selepas kejadian, saya minta isteri simpan cincin tunang sebab risau terlucut lagi. Bila difikirkan balik, momen tu kelakar dan cemas, sebab kami berdua dalam keadaan basah kuyup pergi cari cincin sampai dapat jumpa," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain