suria

“Saat ditimpa malapetaka tak perlu fikir bangsa” - Wanita ini bukan sahaja sedekah hampir 400 tudung, tapi masak kepada mangsa banjir

Foto kiri Kalavathy (kanan) menyusun tudung, kanan Kalavathy memasak untuk mangsa banjir.

RAMAI rakyat Malaysia bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa-mangsa banjir.

Lebih mengharukan apabila bantuan disalurkan daripada pelbagai bangsa dan agama.

Seorang wanita India meraih perhatian apabila memberi sumbangan berupa ratusan tudung kepada mangsa-mangsa banjir beragama Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Setiap tahun wanita India ini tak pernah 'missed' datang surau, "Dia sedekah, hantar borang minta buat tahlil..."

ARTIKEL BERKAITAN: Penuntut UiTM tak sangka Aunty Jothi 'halang' beli sari di Little India sebenarnya ada niat lebih baik - "Berkali-kali saya tanya sebab tak percaya"

Bercakap kepada mStar, wanita berkenaan, Kalavathy Rasalingam berkata, dia mempunyai stok tudung baki jualannya pada 2018 dan masih disimpan baik di stor.

Usahawan berusia 48 tahun itu memberitahu, dia sebelum ini berhasrat untuk memberikan kesemua tudung tersebut kepada rakan-rakannya beragama Islam sebagai cenderamata.

"Ada banyak stok yang tak terjual, dan saya selalu fikir nak beri pada kawan-kawan tapi disebabkan kesibukan dan jarang berjumpa menyebabkan stok tudung masih berbaki.

"Saya sangka cuma 200 helai tudung dalam stor, tapi selepas diperiksa ada lebih 380 tudung! Kesemuanya masih dalam plastik, masih elok dan bukan tudung reject.

"Mungkin ada hikmah kenapa sampai sekarang saya belum bagi pada kawan-kawan. Jadi saya fikir perlu lakukan sesuatu untuk komuniti," katanya ketika dihubungi.

india sedekah tudung 5

Hampir 400 tudung disumbangkan kepada mangsa banjir.

Lebih mesra disapa Kala, katanya, pemberian tudung merupakan satu bantuan yang tepat ketika sebahagian mangsa banjir hanya tinggal sehelai sepinggang.

"Dalam keadaan banjir, tidak banyak benda yang mereka boleh selamatkan. Apa yang sempat capai atau pakai, itu yang ada pada mereka atau sehelai sepinggang.

"Saya tahu wanita beragama Islam perlu pakai tudung (menutup aurat). Maka saya percaya tudung merupakan salah satu bantuan bersesuaian ketika ini," ujarnya sambil menambah sumbangan tudung akan diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam dan Karak, Pahang dengan kerjasama kumpulan sukarelawan.

india sedekah tudung 2

Kalavathy (dua, kanan) bersama sukarelawan menyiapkan makanan.

Bukan sekadar tudung, sebenarnya banyak lagi yang disumbangkan oleh ibu kepada dua anak ini, di beberapa lokasi terjejas teruk akibat banjir termasuk pemberian makanan.

Menurut Kalavathy, dengan kerjasama sebuah kuil Shirdi Baba di Batu Caves, Selangor, dia bersama kira-kira 15 sukarelawan membantu menyediakan makanan untuk mangsa banjir.

Bagi kita yang tidak terjejas akibat banjir, kita patut bantu mereka yang memerlukan dan 'kumpul pahala'

KALAVATHY RASALINGAM

"Saya beli barang keperluan dan masak di situ. Sebenarnya di kuil ini menyumbang sarapan, makan tengah hari dan makan malam secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

"Jadi insiden banjir ketika ini memberi idea untuk saya masak dengan bantuan sukarelawan lain, dan kemudian diserahkan menerusi tajaan pengangkutan ke lokasi," katanya yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

india sedekah tudung 6

Nasi goreng vegetarian antara juadah yang disediakan.

Sejak Isnin lalu, lebih 800 bungkusan makanan berupa nasi goreng vegetarian dengan sampuran kentang goreng (potato fries) dan sambal dihantar ke Taman Sri Muda, termasuk 100 bungkus ke Dengkil, Selangor bagi operasi pembersihan pascar banjir oleh penduduk.

Kalavathy yang merupakan pengusaha pusat rawatan dan kecantikan di Prima Sri Gombak, Batu Caves berkata, hasil sumbangan bukan sahaja daripadanya, malah turut didermakan oleh rakan-rakan, pelanggan dan orang perseorangan.

"Kami menyumbangkan barang-barang keperluan seperti shampu, sabun mandian, bahan pencuci rumah, pakaian terpakai," tambahnya.

india sedekah tudung 3

Kalavathy dan pasukan sukarelawan turut menyumbangkan barang keperluan kepada mangsa banjir.

Sehubungan itu katanya, bencana banjir yang berlaku di negara menyaksikan sifat kemanusiaan dalam rakyat Malaysia.

"Saat ditimpaapetaka tak perlu fikir bangsa, tapi kemanusiaan. Bagi kita yang tidak terjejas akibat banjir, kita patut bantu mereka yang memerlukan dan 'kumpul pahala'.

"Kalau kita rasa susah, kena fikir orang lain lebih susah daripada kita. Jadi gerak terus bantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain