Ujian temu duga ‘rare’, bekas pelajar kata “Perhimpunan nanti tak sakit mata tengok budak pakai baju kedut” - Viral | mStar

Ujian temu duga ‘rare’, bekas pelajar kata “Perhimpunan nanti tak sakit mata tengok budak pakai baju kedut”

Mohd Hasif merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Lahad Datu.

JIKA disebut tentang seterika pakaian, ia adalah perkara asas yang dilakukan dalam kehidupan harian tanpa mengira latar belakang.

Namun, menariknya apabila sebuah sekolah di Sabah mengenakan syarat kepada bakal pelajarnya supaya melepasi ujian seterika baju pada sesi temu duga kemasukan ke sekolah tersebut.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Lahad Datu, Mohd Hasif Gandoh, 21 melalui akaun Twitter miliknya.

"Jarang sekolah ni buat ujian seterika baju untuk temu duga bagi kemasukan ke tingkatan satu.

"Baguslah ni nanti kalau perhimpunan pagi tidak la sakit mata tengok budak-budak pakai baju kedut," tulisnya menerusi sebuah hantaran di Twitter pada Selasa.

Posting yang dimuat oleh Mohd Hasif pada tengah hari Selasa.

Posting Mohd Hasif itu meraih perhatian pelayar Twitter lain dan diulang kicau sebanyak 3,154 kali serta mendapat 2,334 tanda suka.

Kata pemuda yang kini meneruskan pengajian di Universiti Putra Malaysia itu, dia merupakan pelajar sekolah tersebut dari 2010 hingga 2014.

"Zaman saya dulu tiada temu duga macam tu (seterika baju). Tak silap saya, ia baru diperkenalkan tahun ini untuk kemasukan tahun depan.

"Sebenarnya, gambar-gambar tu saya nampak di Facebook cikgu saya dan kemudian saya kongsi di Twitter," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Tambah pelajar yang berasal dari Kota Belud itu, ujian tersebut wajar diperkenalkan kerana ia adalah asas yang perlu diketahui oleh pelajar di sekolah-sekolah asrama.

Aksi seorang calon pelajar Sekolah Menengah Sains Lahad Datu ketika dirakam sedang menyeterika baju sekolah.

Menurut Mohd Hasif, kebolehan seterika baju juga boleh dianggap sebagai nilai tambah supaya bakal pelajar lebih mahir untuk menguruskan kehidupan mereka di asrama.

"Ujian ini lain daripada yang lain dan mungkin ada juga diperkenalkan di sekolah-sekolah lain, cuma saya yang tidak tahu.

"Bagi saya, ujian ini patut dilakukan walaupun ia nampak seperti perkara kecil, tapi sebenarnya penting bagi memastikan pelajar sentiasa kelihatan kemas di sekolah," ujarnya.

Kongsi pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan itu lagi, pengalamannya menjalani kehidupan sebagai pelajar asrama di sekolah itu banyak mendidiknya cara hidup berdikari.

Artikel Lain