suria

Ditamatkan perkhidmatan KPPA, Mohd Shafiq akan ambil tindakan undang-undang

Perkhidmatan Mohd Shafiq Abdullah sebagai KPPA ditamatkan berkuat kuasa Isnin.

BEKAS Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah akan mengambil tindakan undang-undang berhubung penamatan perkhidmatannya.

Mohd Shafiq berkata, beliau terkilan dengan keputusan tersebut.

"Saya tidak berpuas hati dengan keputusan penamatan perkhidmatan saya dan saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam hal ini yang telah menganiaya saya meskipun saya telah menyumbang tenaga dan fikiran selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah terkait dakwaan hambur kata-kata kesat pegawai imigresen, Mohd Shafiq ditamatkan perkhidmatan sebagai KPPA

Terdahulu pada Selasa, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan media berkata, penamatan perkhidmatan Mohd Shafiq dilakukan penamatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Tambahnya, Mohd Shafiq dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [Akta 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.

Menurut Mohd Zaki, keputusan tersebut diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.

Sementara itu, Mohd Shafiq, 58, turut menjelaskan insiden membabitkan surat penamatan perkhidmatannya yang tular di media sosial pada Isnin malam.

"Pertama, saya hanya menerima surat penamatan perkhidmatan bertarikh 1 Disember 2022, semalam.

"Saya tidak diberi sebarang notis yang munasabah bahawa tarikh berkuat kuasa penamatan perkhidmatan saya adalah pada 12 Disember 2022, hari yang sama," katanya.

Beliau mendakwa terdapat usaha tanpa henti untuk memburukkan imejnya melalui edia sosial dan media massa, yang semakin memuncak dengan tindakan penamatan perkhidmatannya.

Mohd Shafiq menafikan dakwaan beliau mengancam kepentingan awam, malah terdapat usaha untuk menghalangnya menjalankan tugas dengan efisien.

Ogos lalu, Mohd Shafiq terkait dengan kontroversi dakwaan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Susulan itu, satu Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan, yang dipengerusi Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi menyiasat dakwaan insiden berkenaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain