suria

Pernah terkait dakwaan hambur kata-kata kesat pegawai imigresen, Mohd Shafiq ditamatkan perkhidmatan sebagai KPPA

Mohd Shafiq menikmati semua faedah persaraan melalui peruntukan yang layak baginya.

PERKHIDMATAN Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam ditamatkan berkuat kuasa Isnin, 12 Disember.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, penamatan ini adalah selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Beliau berkata Mohd Shafiq dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227] membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan melalui peruntukan yang layak baginya.

"Keputusan ini diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.

"Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Shafiq atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam.

"Saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara yang kita cintai," kata Mohd Zuki dalam satu kenyataan media.

Sebelum ini Mohd Shafiq terkait dengan kontroversi dakwaan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Susulan itu satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain