suria

Kesempitan hidup jadi punca, budak 8 tahun teruja pertama kali jejak kaki ke sekolah

Anak sulung dari dua adik beradik itu merupakan harapan mereka sekeluarga untuk mengubah kehidupan keluarga mereka empat beranak. Foto: Sinar Harian.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai kisah Mohammad Amirul Danish, 8, tidak mengikuti persekolahan seperti kanak-kanak seusianya disebabkan kemiskinan hidup mereka yang hanya bergantung kepada pendapatan bapanya, Mohd Faizuan Mansor, 36, yang melakukan pelbagai kerja kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas mahasiswi ‘basuh’ pelajar tak reti bersyukur, habis dipecahnya rahsia ‘tambang bas dan 3 peket Maggi’

Terbaharu, kanak-kanak yang tercicir daripada persekolahan sejak setahun lalu kini memulakan sesi persekolahan buat kali pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Chengai, Kuala Kedah pada Isnin.

Ibunya, Zul Hijah Fadzilah, 31, berkata, dia bersyukur anak sulungnya kini dapat mengikuti pembelajaran seperti kanak-kanak lain selepas setahun.

"Alhamdulillah, anak lelaki saya nampak teruja dan bersemangat untuk menjalani persekolahan walaupun ini kali pertama dia menjejaki kaki ke sekolah.

"Kita bimbang dia enggan ke sekolah memandangkan telah lama ketinggalan dalam sesi persekolahan, namun anak menunjukkan kesungguhan," katanya ketika ditemui selepas menghantar Mohammad Amirul ke sekolah.

Zul Hijah berkata, anak sulung dari dua adik beradik itu merupakan harapan mereka sekeluarga untuk mengubah kehidupan keluarga mereka empat beranak.

"Saya bersyukur proses penghantaran anak ke sekolah berjalan lancar dan dipermudahkan dengan bantuan semua pihak walaupun keadaan agak kelam kabut kerana kami tidak biasa," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) Cawangan Kuala Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, pihaknya mendapati kanak-kanak itu tidak pernah daftar sekolah ketika melawati keluarga itu di Kampung Telok Layang bulan lalu.

Katanya, pasangan suami isteri itu tidak mampu menghantar anak ke sekolah disebabkan masalah kewangan akibat pendapatan tidak seberapa, selain menampung kos rawatan anak kedua mereka, Nur Rizki Danish, 2, yang ada masalah pendengaran dan jantung berlubang sejak lahir.

"Susulan itu, pihak GPMS Kuala Kedah berusaha mendaftarkan persekolahan kanak-kanak ini dan menyalurkan sumbangan pakaian persekolahan bagi meringankan bebanan ibu bapanya," katanya.

Amirul Syahir berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan Mohammad Amirul Danish dan sedia membantu menanggung keperluan peralatan persekolahannya.

"Dari segi bayaran lain, kita bersyukur apabila dimaklumkan yuran kanak-kanak lelaki itu akan dibiayai pihak sekolah melalui wang zakat," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, isu Mohammad Amirul tercicir dari persekolahan berkenaan merupakan kes pertama GPMS Cawangan Kuala Kedah untuk tahun ini.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan empat beranak hanya mampu menumpang teduh di sebuah kediaman berupa ruang kecil berkeluasan 6.09 meter x 5.48 meter dengan kadar sewa RM100 sebulan.

Bapanya, Mohd Faizuan Mansor, 36, melakukan pelbagai kerja kampung termasuklah memotong rumput dan pemikat haiwan dengan pendapatan sedikit untuk menyara mereka sekeluarga.

Lebih memilukan, anak sulungnya tidak bersekolah dan anak kedua pula perlu berulang alik menjalani rawatan di hospital akibat masalah jantung berlubang dan masalah pendengaran. - Sinar Harian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain