suria

SD sokong Muhyiddin ditandatangani sebelum putuskan pembubaran Parlimen - Tuan Ibrahim

Menurut Tuan Ibrahim, Ahli Parlimen PAS dan Umno telah menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri. Foto: The Star

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan bahawa Akuan Berkanun (SD) untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri, ditandatangani sebelum Muafakat Nasional memutuskan untuk menuntut pembubaran parlimen.

"Kami membincangkan beberapa nama sebagai cadangan untuk menyelesaikan ketidaktentuan situasi politik semasa," katanya menerusi mesej teks kepada The Star pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Mahathir akui tak terlibat dengan SD – “Saya umur 94... beberapa bulan lagi umur 95”

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf jika peletakan jawatan saya salah” – Dr Mahathir minta izin wujud kerajaan tanpa memihak kepada parti

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata Muafakat Nasional yang terdiri daripada Umno dan PAS akhirnya memutuskan untuk menuntut Parlimen dibubarkan.

"Muafakat Nasional akhirnya memutuskan bahawa pembubaran Parlimen adalah penyelesaian terbaik," kata Tuan Ibrahim.

Kenyataan terbaharu itu dijelaskan oleh Tuan Ibrahim, susulan kenyataan terdahulunya bahawa Ahli Parlimen PAS dan Umno telah menandatangani SD untuk menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri, dinafikan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

"PAS dan Umno kekal dengan cadangan untuk parlimen dibubarkan.

"Sebarang kenyataan rasmi PAS hanya daripada Presiden dan Setiausaha Agung secara bertulis," tulis Takiyuddin menerusi Twitter.

Terdahulu, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, semua Ahli Parlimen PAS dan Umno telah menandatangani Akuan Berkanun (SD) untuk menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

Menurut Tuan Ibrahim, parti tersebut bersama-sama dengan Umno, pada mulanya menandatangani SD untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. - THE STAR

Tuan Ibrahim, SD, Muhyiddin

Artikel Lain