suria

Tun Mahathir akui tak terlibat dengan SD – “Saya umur 94... beberapa bulan lagi umur 95”

Tun Mahathir mengakui dirinya tidak terlibat dengan sebarang Akuan Bersumpah (SD) untuk kekal memegang jawatan sebagai perdana menteri selama satu penggal. Foto: The Star

“SAYA umur 94, beberapa bulan lagi umur 95. Mana boleh tahan untuk pegang jawatan PM,” kata Tun Dr Mahathir, mengulas mengenai pandangan segelintir pihak yang mahukan dirinya memegang jawatan Perdana Menteri untuk tempoh yang lebih lama.

Tun Mahathir sebelum itu mengakui dirinya tidak terlibat dengan sebarang Akuan Bersumpah (SD) untuk kekal memegang jawatan sebagai perdana menteri selama satu penggal.

Ujarnya, laporan yang mengatakan terdapat satu SD yang mempunyai sokongan seramai 138 ahli parlimen supaya mengekalkan beliau sebagai Perdana Menteri, tidak melibatkan dirinya.

Katanya, beliau sendiri hairan bagaimana wujudnya angka seramai 138 Ahli Parlimen menandatangani SD tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Akuan bersumpah (SD) hanya khabar angin

ARTIKEL BERKAITAN: Majlis Presiden PH muktamadkan peralihan kuasa pada mesyuarat 21 Februari ini

"Hari ini Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti. Bagaimana boleh dapat angka 138 itu. Saya yakin ini orang lain punya kerja dan saya tidak tahu mereka boleh buat macam itu," katanya ketika sidang media selepas Lawatan Tapak ke Projek Fasa 1, Rebungan Resort Langkawi di Padang Gaong, Mukim Ulu Melaka, pada Jumaat.

Selasa lalu, Sarawak Report melaporkan sumber yang boleh dipercayai berkata, terdapat individu yang telah mengumpulkan ahli Parlimen dalam usaha menafikan keputusan PRU14.

Laporan itu turut mendakwa, ahli Parlimen Umno, PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah diminta untuk datang ke Kuala Lumpur bagi menandatangani akuan berkanun itu untuk menyokong penangguhan peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga PRU akan datang.

Dalam pada itu, Dr Mahathir sekali lagi mengulangi pendiriannya berpegang kepada janji untuk melepaskan jawatan sebagai perdana menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Katanya, beliau mendengar pelbagai cerita mengenai jawatan yang disandangnya.

"Ada yang sampai mahu saya jadi perdana menteri 20 tahun lagi, saya umur 94, beberapa bulan lagi umur 95. Mana boleh tahan untuk pegang jawatan PM," katanya.

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuat naik hasil perbincangan pertemuannya bersama Dr Mahathir di akaun Twitter peribadinya.

Menurut Anwar, dalam pertemuan itu, beliau membangkitkan isu peralihan kuasa susulan terdapat laporan yang menyebut ada usaha daripada PAS, Umno dan PKR yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan (akuan berkanun - SD) menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal. - SINAR HARIAN

SD, Tun Mahathir, Perdana Menteri, umur

Artikel Lain