suria

Lebih RM22 juta dana Tabung Haji untuk politik?

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) pada Jumaat membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua pegawai eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta barisan pengurusan kanan.

Ia berkata laporan yang dikemukakan itu adalah siasatan dalaman yang pertama dalam transaksi masa lalu, yang dipimpin oleh pengurusan baharu sejak Julai 2018.

Kakitangan kanan yang terbabit adalah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar, Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Laporan pertama membabitkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 di mana dana berjumlah lebih RM22 juta disalurkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik.

“Ini bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH,” menurut TH dalam kenyataan malam tadi berhubung laporan polis dibuat dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di sini.

Ia berkata pemegang amanah YTH pada masa itu ialah Abdul Azeez, Ismee, Johan, Adi Azuan dan Rozaida.

YTH ditubuhkan pada 2016 untuk melaksanakan, antara lain, bantuan kemanusiaan serta menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik, miskin dan yang memerlukan.

TH menyumbang RM7 juta kepada program tersebut.

Laporan kedua terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina adalah berkaitan dakwaan salah nyata dan menyekat maklumat material melibatkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga US$910 juta (RM3.7 bilion).

Menurut kenyataan itu, PT TH Indo Plantations memiliki 83,000 hektar ladang kelapa sawit di Indonesia. - BERNAMA

Tabung Haji

Artikel Lain