suria

Najib tinggalkan kediaman malam tadi

KUALA LUMPUR: Kenderaan dipercayai dinaiki bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat keluar dari kediamannya di Langgak Duta di sini, Rabu malam.

Beliau meninggalkan kediamannya pada pukul 8.50 malam dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih serta diiringi sebuah lagi kenderaan lain dan dua motosikal pengiring.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa kenderaan Ahli Majlis Tertinggi Umno bersama-sama penyokongnya turut meninggalkan kediaman Najib beberapa minit sebelum kenderaan Najib meninggalkan kediamannya.

Antaranya ialah Presiden Umno yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut kelihatan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Arifin, bekas Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Wanita Umno Datuk Dr Noraini Ahmad.

Difahamkan, kunjungan kesemua mereka sejak kira-kira 6.50 petang tadi bertujuan bagi menyatakan sokongan serta menunaikan solat hajat bersama-sama bekas perdana menteri itu.

Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.- BERNAMA

Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain