suria

Penyokong buat kecoh di mahkamah, sidang media dibatalkan

PETALING JAYA: Sidang media Peguam Negara, Tommy Thomas selepas selesai proses pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa dibatalkan atas alasan keselamatan.

Sidang media itu bertukar kecoh apabila sekumpulan penyokong Najib menjerit 'bahasa Malaysia' apabila Tommy menggunakan bahasa Inggeris.

Sekumpulan penyokong itu turut menjerit perkataan 'Melayu' dan 'bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan' kepada pasukan pendakwaan yang diketuai Tommy pada sidang media tersebut.

Tommy terpaksa diiringi polis untuk meninggalkan perkarangan kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Susulan kekecohan itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata tiada tangkapan dilakukan terhadap mana-mana individu setakat ini.

Semasa di dalam kamar mahkamah, Tommy meminta proses pendakwaan kes rasuah bekas perdana menteri itu dikendalikan dalam bahasa Inggeris.

Tommy yang bertindak sebagai pendakwa raya membuat permintaan itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Zainal Abidin Kamarudin selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu.

Apabila mengambil alih jawatan itu bulan lalu bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Tommy dikritik kerana didakwa kurang fasih berbahasa Melayu.

Malah Tommy sendiri mengakui dia perlu memperbaiki kelemahan bertutur dalam bahasa kebangsaan itu.

Najib pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM42 juta.

kecoh, sidang media, Tommy Thomas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain