suria

70 Pelajar, Guru SM Agama Kuala Lipis Dijangkiti Beguk

Vaksin diberikan kepada pelajar yang tidak menerima imunisasi beguk.

KUANTAN: Seramai 70 pelajar dan tiga guru Sekolah Menengah Agama Kuala Lipis, dekat sini dijangkiti beguk sejak 20 Februari lepas.

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Sha'ari Ngadiman bagaimanapun berkata sebahagian besar daripada pelajar itu telah pulih, namun pihaknya masih mengambil tindakan berjaga-jaga bagi memastikan penyakit itu tidak merebak.

"Pelajar dan guru yang terlibat telah diberi rawatan dan dikuarantin di dalam kawasan sekolah bagi mengelakkan orang luar terkena jangkitan. Semua pesakit kini berada dalam keadaan stabil.

"Vaksin diberikan kepada pelajar yang tidak menerima imunisasi beguk. Pendidikan kesihatan dilaksanakan di sekolah selain pemantauan harian dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Lipis," katanya semasa dihubungi pada Jumaat.

Penyakit beguk disebabkan jangkitan virus Paramyxovirus dan boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar dengan air liur pesakit.

Dr Sha'ari menambah mereka yang dijangkiti akan mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar parotid (kelenjar air liur).

"Pesakit biasanya akan sembuh sepenuhnya selepas dua hingga tiga minggu. Jangkitan beguk adalah ringan dalam kebanyakan kes dan boleh sembuh sepenuhnya tanpa komplikasi," katanya.

Dr Sha'ari menambah mereka yang mengalami gejala beguk dinasihatkan untuk mendapat rawatan awal di klinik kesihatan untuk mengelakkan komplikasi.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dan mengamalkan etika batuk yang betul bagi mengelakkan penularan penyakit tersebut.

Dr Sha'ari menambah di Malaysia, imunisasi beguk diberikan dalam bentuk vaksin tiga serangkai Measles-Mumps-Rubella (MMR) sejak tahun 2002, namun bermula April 2016, ia diberikan sebanyak dua kali iaitu pada usia sembilan bulan dan setahun.- Bernama

Beguk, Kuala Lipis

Artikel Sebelum

Artikel Lain