suria

Skuter Jimat Tenaga dan Masa

ASSALAMUALAIKUM...

KISAH projek Rehabilitasi Kawasan Zam zam di dataran Kaabah yang dipaparkan menerusi kolum ini awal minggu lalu terus menjadi perhatian.

Ada yang mahu tahu lebih jelas mengenai penggunaan skuter kerana bimbang tidak mampu bertawaf lebih lima kilometer.

Ada juga pembaca berpendapat jarak tawaf sekarang boleh melatih mereka bersiap sedia sebelum bergelar tetamu Allah bagi menunaikan ibadat haji yang menuntut jemaah berjalan jauh untuk melontar jamrah.

Mungkin ada yang tidak bimbang melihatkan jarak seumpama itu jika mampu berjalan jauh kerana sering bersenam atau berjoging tetapi boleh menimbulkan masalah kepada jemaah uzur dan bermasalah kesihatan.

Difahamkan baru-baru ini, berikutan kerja-kerja pemulihan itu juga, hanya jemaah lelaki berpakaian ihram saja dibenarkan untuk bertawaf di dataran Kaabah dan keadaan ini meyebabkan jemaah lelaki yang mahu mengerjakan tawaf wada’ dinasihatkan mengenakan ihram untuk mengelakkan kelewatan sebelum berangkat pulang.

-fotoREUTERS

Jika jemaah tidak berihram, mereka perlu bertawaf di paras bawah dan masuk melalui pintu King Abdul Aziz tetapi perlu berjalan 800 meter untuk setiap pusingan dan untuk melengkapkan tujuh pusingan tawaf, jemaah perlu berjalan 5.6 kilometer dan mengambil masa kira-kira satu setengah jam.

Sekiranya jemaah mahu bertawaf di dataran Kaabah, mereka perlu menunggu kerana kakitangan di Masjidil Haram mengawal ketat kemasukan jemaah di dataran untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Artikel mengenai kegunaan skuter pernah saya tulis sekembali dari menunaikan ibadat haji tahun lalu.

Alhamdulillah, ia memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan khususnya jemaah berusia, orang kelainan upaya, uzur dan berpenyakit lutut.

Jika jemaah memilih untuk menaiki skuter, khidmat itu boleh ditemui di paras mezanin dan laluan ke situ adalah di sebelah kanan pintu King Abdul Aziz (jika jemaah datang dari bahagian luar Masjidil Haram).

Dengan menaiki skuter, jemaah tidak terasa penat.Saya pernah menaiki skuter membawajemaah yang tidak sihat tetapi masih gagah untuk beribadat mengerjakan umrah.

Sejurus tiba di paras mezanin, jemaah perlu mencari ruang pejabat yang menempatkan perkhidmatan skuter.

Kawasan itu agak lengang kerana tidak ramai jemaah menggunakan khidmat berkenaan.

Bayaran dikenakan adalah SR50 untuk tawaf dan SR50 untuk saie.

Ketika kunjungan saya itu, ada jemaah yang hanya menggunakan khidmat skuter kerana hendak bertawaf sunat.

Hanya mereka yang menunaikan ibadat umrah hanya perlu membayar SR100 seorang untuk menyelesaikan tawaf dan saie.

Jemaah boleh pilih skuter selepas menjelaskan bayaran dan memperoleh kunci, sama ada bersendirian atau berdua.

Jika jemaah tidak berani untuk menunggang sendiri, eloklah mencari rakan jemaah yang boleh membantu bersama-sama menaiki skuter.

Ia mudah dikawal.

Jemaah hanya perlu memerhatikan setiap butang yang ada di depan dan sisi mereka dan menekan pedal.

Kelajuan boleh ditentukan oleh penunggang.

Ia umpama membawa kereta automatik.

Jika ruang tawaf dan saie tidak ramai, jemaah hanya mengambil masa tidak sampai satu jam untuk menyempurnakan kedua-dua ibadat itu.

Dengan khidmat skuter, jemaah terasa selesa dan tidak penat malah ada jemaah yang sering mengulangi umrah dan tawaf sunat menaiki skuter kerana menjimatkan masa dan boleh melaksanakannya pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, kepuasan melihat Kaabah kurang dinikmati kerana tumpuan lebih kepada pemanduan, jemaah lain dan laluan tawaf.

Jemaah juga perlu memastikan tidak melanggar skuter jemaah lain dan tidak boleh terlalu laju apabila ruang tawaf di paras mezanin agak penuh.

Jika mahukan ruang tawaf dan saie agaklapang, jemaah boleh melaksanakannya selepas menikmati makan malam di hotel penginapan.

Insha Allah bersambung minggu depan.

skuter, tawaf, saie

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Hujan Meteor Bulan Depan

Artikel Lain