suria

Pencapaian PPSR 2017 Baik

Pelajar cemerlang (dari kiri) Syed Daniel Faris Syed Salikin, Ahmad Iman Hazim Mohd Shihabuddin dan Muhammad Adib Mustaqim Johary bersama keputusan UPSR dengan keputusan cemerlang di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 pada Khamis. fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR), yang menilai kemenjadian murid melalui empat komponen, menunjukkan pencapaian murid tahun enam pada 2017  secara keseluruhannya baik tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin semasa membentangkan laporan PPSR buat pertama kalinya hari ini berkata pendekatan itu harus digunakan oleh semua pihak kerana ia menggambarkan profil murid sebagai modal insan negara pada masa akan datang.

PPSR merangkumi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR); pentaksiran bilik darjah; pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum; serta pentaksiran psikometrik.

"Matlamat kita untuk melihat keunikan setiap murid dan mengembangkan potensi mereka mengikut pelaporan masing-masing. Secara keseluruhannya kita berpuas hati walaupun masih ada ruang untuk penambahbaikan," katanya pada sidang media PPSR 2017 di sini Khamis.

Bagi keputusan UPSR, beliau berkata seramai 8,958 calon atau 2.1 peratus daripada keselurhan 443,794 calon mendapat semua A, meningkat berbanding 4,896 calon pada 2016.Amin berkata calon yang mencapai sekurang-kurangnya gred D dalam semua mata pelajaran adalah seramai 293,514 calon iaitu 68.1 peratus.

Katanya peratusan calon yang belum mencapai tahap penguasaan minimum iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu gred E turun sebanyak 0.9 peratus iaitu 30.2 peratus pada tahun ini dan peratusan calon yang belum mencapai tahap penguasaan minimum gred E dalam semua mata pelajaran turun sebanyak 0.7 peratus iaitu 1.5 peratus pada 2017.

"Hal ini menunjukkan prestasi calon UPSR tahun 2017 meningkat berbanding tahun 2016," katanya.

Dari segi prestasi mata pelajaran pula, Amin berkata penguasaan Bahasa Melayu bagi kedua-dua kertas Pemahaman dan Penulisan di sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) secara keseluruhannya meningkat.

Tahap penguasaan Bahasa Inggeris juga secara keseluruhannya meningkat pada 2017, kecuali bagi kertas Penulisan di SK yang menunjukkan penurunan daripada 77.1 peratus pada 2016 kepada 73.6 peratus tahun ini.

Bagi Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Amin berkata seramai 24,612 murid menunjukkan tahap penglibatan dalam aktiviti kokurikulum yang sangat aktif, komited dan menunjukkan potensi diri yang tinggi dalam aktiviti disertai.

"Secara keseluruhan, penglibatan dan penyertaan murid dalam aktiviti kokurikulum adalah seramai 444,961 atau 97.4 peratus murid," katanya.

Beliau berkata seramai 40,957 murid memiliki kecergasan sangat tinggi dalam ujian Standard Kecerdasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (Segak),  seramai 3,644 murid berada pada tahap tidak cergas, manakala 3,259 murid dikecualikan daripada menjalani ujian disebabkan masalah kesihatan yang disahkan oleh pengawai perubatan.

Beliau berkata ujian Segak dilaksanakan pada bulan Mac dan Ogos namun data bulan Ogos sahaja digunakan kerana status kecergasan yang diperoleh adalah lebih baik setelah menjalani program intervensi kecergasan.

Dari segi Indeks Jisim Badan (BMI) pula, Amin berkata seramai 58,294 murid mempunyai berat badan berlebihan manakala 56,584 berisiko berat berlebihan.

"Obesiti bukan masalah sekolah, tetapi masalah masyarakat, sebab itu kita harus tangani secara bersama dan pada kita, ini merupakan petunjuk yang baik untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera," katanya.

Mengenai Pentaksiran Psikometrik, beliau berkata Inventori Kecerdasan Pelbagai (Ikep) yang ditadbir kepada semua murid tahun enam pada Julai 2017 menunjukkan peratus kecenderungan murid tahap tinggi iaitu Eksistensial 77.7 peratus.

Amin berkata kecenderungan murid tahap tinggi bagi Intrapersonal pula adalah 77.3 peratus, Interpersonal (68.9 peratus), Naturalistik (63.2 peratus), Kinestetik (54.4 peratus), Logik Matematik (50.3 peratus) dan Visual Ruang (43.4 peratus).

Eksistensial adalah peka dan berkebolehan membincangkan hal-hal kewujudan seperti makna dan kehidupan; Intrapersonal adalah keupayaan seseorang individu memahami dan menilai kekuatan, kelemahan, bakat dan minat kendiri; dan Interpersonal adalah keupayaan seseorang individu berkomunikasi, berinteraksi dan bekerjasama dengan orang lain.

Kinestetik pula adalah pintar jasmani iaitu keupayaan seseorang mengawal dan memahami pergerakan tubuh; Naturalistik adalah keupayaan seseorang mengenal pasti dan menghargai alam semula jadi; dan Logik Matematik adalah keupayaan seseorang individu menggunakan nombor dalam kehidupan seharian untuk membuat penyelesaian secara logikal.

Kepada soalan mengenai kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Amin berkata pemilihan calon mengambil kira tahap pengetahuan am; kecerdasan emosi (EQ); kecerdasan intelektual (IQ); aspek kerohanian dan kemahiran sosial berdasarkan Ujian Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh (UKSBP, komponen latar belakang sosial dan akademik; lokasi tempat tinggal sama ada di bandar dan luar bandar serta tahap kepimpinan pelajar berkenaan.

"Saya boleh katakan kemasukan dan pemilihan pelajar ke SBP sangat berbeza. Semua pelajar boleh ambil UKSBP dan jika mereka dapat sekadar 2A dan 3B tetapi mempunyai kesesuaian untuk masuk ke SBP, maka mungkin calon itu dapat diterima masuk,” katanya.

Amin berkata terdapat juga kemungkinan pelajar yang mendapat keputusan 6A namun tidak sesuai masuk ke SBP kerana tidak mempunyai kelebihan dari segi latar belakang sosial yang dikehendaki.

Katanya permohonan untuk UKSBP dibuka pada 16 Oktober hingga 19 November lalu dan lebih 60,000 pelajar memohon untuk menduduki peperiksaan berkenaan pada akhir bulan ini.

Pada Rabu, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Hal Ehwal Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Nor Azlina Abdul Rahim berkata murid yang memohon menyambung pelajaran ke SBP perlu menduduki UKSBP pada 11 hingga 15 Disember.

Dalam pada itu, Amin berkata bagi 3,095 murid berkeperluan khas masalah pembelajaran yang melalui Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) merangkumi ProKhas 1 dan ProKhas 2, pencapaian mereka amat memberangsangkan.Amin berkata seramai 373 murid yang menduduki ProKhas 1 mencapai tahap Kompoten Terpuji dan seramai 171 murid mencapai tahap Kompoten Terpuji dalam Prokhas 2.

Daripada jumlah itu, 109 calon mencapai tahap Kompeten Terpuji bagi kedua-dua ProKhas. - BERNAMA

PPSR 2017

Artikel Sebelum

Hujan Meteor Bulan Depan

Artikel Berikut

Bukan Daging Babi, Tapi...

Artikel Lain