suria

Ketahui Keperluan Diri Pada Musim Dingin

ASSALAMUALAIKUM. Semakin ramai umat Islam membanjiri kota Makkah dan Madinah bagi menunaikan ibadat umrah sekarang ini. Disember sering menjadi pilihan ramai, terutama jemaah dari Malaysia berikutan cuti persekolahan yang panjang.

Musim dingin di Madinah juga antara tarikan jemaah memilih Disember untuk mengerjakan umrah. Selalunya, dari November hingga Februari, cuaca di Madinah khususnya memang nyaman dan menyegarkan.

Pernah saya lalui musim dingin di Madinah dengan suhu sekitar 5 darjah Celsius pada sebelah pagi. Sejuk ketika keluar dari hotel penginapan untuk ke masjid. Angin sejuk akan terasa sehingga menjelang tengah hari. Mentari pula tidak terasa terik manakala menjelang Maghrib, terasa angin sejuk. Makkah pula tidak sedingin Madinah. Namun, tetap nyaman pada Subuh dan menjelang Maghrib.

Ketika menunaikan ibadat haji baru-baru ini, cuaca panas terik sekitar 45 hingga 50 darjah Celsius tetapi sepanjang musim haji, bumi Makkah dibasahi hujan sehingga menyebabkan banjir kilat. Saya turut melalui pengalaman bermandi hujan ketika tawaf di dataran Kaabah.

Namun, hujan lebat hanya seketika. tidak sampai satu jam, hujan reda. Malah, kadangkala beberapa minit saja. Di Taif juga, saya bermandi hujan ketika berkunjung ke kedai minyak wangi . Terkejut apabila melihat hujan batu ketika hendak keluar dari bas yang dinaiki.

Justeru, apakah persediaan anda sebagai jemaah jika hendak menunaikan umrah pada musim dingin? Ramai yang sering bertanya kerana kadangkala ada yang tidak percaya bakal berdepan dengan cuaca dingin lagi nyaman kerana seringkali kita dengar kedua-dua kota suci itu mempunyai suhu panas melampau.

Jika mengikuti kursus umrah, sudah tentu anda diingatkan agar membawa jaket, sweater atau baju tebal untuk membalut tubuh. Sebaik-baiknya bawa sehelai baju panas yang mudah disarung, khususnya buat wanita.

Selain jaket dan sweater, kelengkapan penjagaan diri terutama pelembap dan salap bibir usah diabaikan. Kedua-duanya penting untuk mengelakkan kulit kering dan bibir merekah atau pecah-pecah.

Paling mudah untuk dibawa dan boleh juga dibeli di Madinah ialah minyak zaitun. Cari yang sesuai untuk wajah dan tubuh. Pastikan anda membeli minyak zaitun di farmasi. Harganya sekitar SR15. Ia membantu mengatasi masalah kulit kering dan menggelupas.

Salap bibir yang boleh membantu mengelakkan masalah bibir merekah ialah Vaseline. Ia juga berkesan untuk merawat tubuh yang kering tetapi tekstur Vaseline yang melekit kadangkala kurang disenangi.

Jika anda sering terkena simpul biawak, bawalah minyak panas yang mungkin sering digunakan ketika bermasalah itu. Minyak panas berjenama Flanil didapati berkesan membantu masalah itu dan sebaik-baiknya belilah di farmasi di tanah air.

Bagaimanapun, untuk minyak zaitun, Vicks dan Vaseline, saya sarankan anda beli di Makkah atau Madinah kerana harganya tidaklah mahal dan sungguh berkesan untuk mengatasi masalah dihadapi.

Berapa kali perlu mandi sehari? Soalan ini sering diajukan oleh jemaah. Jawapan saya sekali sehari. Sebaik-baiknya mandilah sebelum Subuh dan jika tidak sempat, mandi selepas itu. Elak penggunaan sabun secara berlebihan kerana ia boleh menghilangkan kelembapan kulit.

Pernah seorang doktor menasihatkan saya agar tidak menggunakan sabun ketika mandi kerana cuaca dingin ketika itu sehingga menyebabkan kulit kaki menggelupas. Namun, jika tidak selesa, cari sabun berpelembap untuk mengelakkan kulit menjadi kering.

Penggunaan losen digalakkan untuk memastikan kelembapan badan. Perlu menggunakannya walaupun kadangkala kurang selesa. Losen bayi mungkin sesuai dan paling lembut untuk penjagaan kulit yang sensitif.

Keperluan diri ini bukan saja untuk wanita malah ia perlu digunakan oleh jemaah lelaki. Selalunya, golongan lelaki kurang selesa dan tidak berdisiplin menjaga diri tetapi di Tanah Suci yang berkeadaan dingin sekarang ini menuntut anda supaya menggunakan segala keperluan itu untuk melancarkan lagi ibadat.

Jika kulit terlalu kering, bibir pecah-pecah dan hidung berdarah, sudah tentu ini boleh menjejaskan ibadat. Tambahan pula, jemaah lelaki tidak berstoking ketika bertawaf dan bersaie. Keadaan ini mendedahkan mereka kepada masalah tumit pecah dan menyakitkan.

Bagi mereka yang berpenyakit diabetes, keadaan ini perlu diberi perhatian dan tidak boleh dipandang ringan. Tanpa pelembap, dikhuatiri anda mudah tergaru-garu kerana keadaan kulit yang kering dan keadaan seumpama itu boleh menyebabkan luka pada kulit.

InsyaAllah bersambung minggu depan.

Madinah, minyak zaitun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain