suria

Kurma Tercemar, Apa Kata Kementerian?

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan tampil memberi maklum balas berhubung buah kurma yang tercemar dengan lipas dan kumbang yang sedang tular di media sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam hal ini pengguna disarankan untuk sentiasa mengamalkan 'lihat, hidu dan rasa' sebelum menikmati sesuatu makanan yang dibeli.

"KKM ingin menasihati pengguna dan orang ramai untuk menggunakan hak dan kuasa pembeli dalam memastikan produk makanan yang dibeli adalah bersih dan selamat.

"Pengguna juga disaran membaca label serta mengamalkan lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati makanan bagi mengelakkan memakan makanan yang telah rosak atau tercemar," katanya dalam satu kenyataan media, Sabtu.

Salah satu gambar kurma tular di media sosial yang didakwa tercemar.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya memandang serius berita yang tular di laman media sosial berkaitan buah kurma tercemar baru-baru ini.

Katanya, pemantauan ke atas produk kurma di pasaran tempatan serta di pintu masuk akan ditingkatkan bagi memastikan makanan berkenaan selamat.

Beliau turut menasihatkan pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna supaya menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.

Mereka juga boleh melayari laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan.

kurma, KKM, Dr Noor Hisham

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain