suria

Polis Ambil Keterangan Kakitangan JJPTR

Seorang pegawai penguatkuasa berjalan masuk ke pejabat JJPTR di Jalan Perak di sini pada Jumaat.

GEORGE TOWN: Seramai 10 kakitangan JJPTR dibawa ke balai polis di sini untuk diambil keterangan berkaitan syarikat tersebut.

Seorang pegawai polis berkata semua kakitangan syarikat itu bukan ditahan tetapi dibawa ke balai polis untuk tujuan dokumentasi.

Sebelum itu, pihak berkuasa daripada pelbagai jabatan menyerbu pejabat utama JJPTR di Jalan Perak di sini pada Jumaat.

Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa dokumen, cek dan barangan lain dari ibu pejabat tersebut.

Seramai 20 pegawai yang terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlibat dalam serbuan tersebut.

Namun, pihak media tidak dibenarkan untuk memasuki premis berkenaan.

Pada Khamis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihak polis telah membekukan lima akaun bank JJPTR.

JJPTR yang merupakan pengendali 'permainan wang' terbesar di negara ini mencuri tumpuan sejak beberapa minggu lalu pengasasnya, Johnson Lee, 28, mendakwa bahawa syarikat tersebut kerugian sebanyak $AS400 juta (RM1.738 bilion) akibat digodam.

Para pelabur mula panik apabila faedah sebanyak 20 peratus yang dijanjikan tidak dikreditkan ke akaun mereka pada April lalu.

Satu pasukan tindakan khas melibatkan BNM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara ditubuhkan pada bulan lalu untuk menyiasat skim permainan wang itu.

JJPTR, serbuan

Artikel Sebelum

Pertaruh Nyawa Demi RM20

Artikel Berikut

Artikel Lain