suria

Seorang lelaki bertanyakan tentang wang pelaburannya kepada kakitangan di pejabat JJPTR di Pulau Pinang.

PETALING JAYA: Amat sukar untuk mendapatkan keuntungan yang konsisten dalam pasaran pertukaran asing walaupun ia dilakukan oleh golongan profesional paling berpengalaman dan dilengkapi perisian dan analisis terbaik, kata ahli ekonomi Dr Yeah Kim Leng.

Dr Yeah berkata dakwaan pengasas JJPTR, Johnson Lee bahawa skim ‘pelaburan’nya hanya meraih keuntungan satu peratus setiap hari di pasaran tukaran mata wang asing sangat menimbulkan persoalan.

 Mengulas mengenai kenyataan Lee bahawa kompaun faedah pada kadar satu peratus sehari boleh menghasilkan keuntungan 34.78 peratus dalam hanya sebulan, Dr Yeah berkata:

"Ia mungkin kedengaran munasabah pada dasarnya tetapi lihat pula bagaimana tidak menentunya pasaran forex itu.

 "Ia adalah pasaran yang paling sukar untuk diramal dengan tepat dan ini telah disahkan oleh kajian, melalui pelaksanaan dan penyelidikan akademik.”

Dr Yeah, yang merupakan seorang profesor ekonomi di Sunway Business School menggesa orang ramai supaya tidak mempercayai dakwaan keterlaluan bahawa seseorang itu boleh mendapat pulangan yang luar biasa melalui pasaran forex.

Beliau mengulas laporan Nanyang Siang Pau yang memetik Lee sebagai berkata bahawa dia tidak seperti lain-lain pengurus dana yang ‘tamak’ dan meyakinkan pelabur bahawa JJPTR tidak akan ‘runtuh’ kerana dirinya cukup berdisiplin untuk tidak melampaui sasaran keuntungan satu peratus setiap hari.

Skim pelaburan JJPTR menjadi tajuk utama sejak beberapa minggu lalu apabila tersebarnya berita bahawa ia telah ‘gulung tikar’ selepas mengalami kerugian RM500 juta, yang didakwa kerana penggodaman. Walau bagaimanapun, kerugiannya adalah lebih tinggi.

Dalam satu temu bual, Lee mengesahkan bahawa syarikat itu kerugian AS $400 juta (RM1.7bil) tetapi mendakwa bahawa dia dapat membuat bayaran balik jumlah itu kepada 400,000 pelabur dalam tempoh empat hingga lima tahun.

"Saya tidak lagi akan membuat bayaran balik ini melalui 20 peratus pulangan setiap bulan. Sebaliknya, modal ahli-ahli saya 'akan dibayar secara sekali gus. Walaupun begitu, ini akan mengambil masa dan saya percaya ia boleh diselesaikan dalam tempoh empat tahun,” katanya kepada akhbar harian berbahasa Cina itu.

Walaupun kini sedang disiasat oleh tidak kurang dari enam agensi kerajaan, pemain berusia 28 tahun itu menegaskan bahawa syarikatnya tidak melakukan penipuan.

"Kerana saya pernah miskin, saya memahami perasaan mereka. Saya tidak menipu orang lain dan saya kekal (di Malaysia) untuk menghadapi masalah itu,” katanya.

Lee mendakwa dia boleh menjalani kehidupan lebih bebas dengan melarikan diri ke Amerika Syarikat tetapi memilih untuk terus berada di sini untuk membantu ‘penyokong’nya mendapatkan semula pelaburan mereka.

"Jika saya melarikan diri, saya akan kehilangan semua penyokong saya dan rakan-rakan akan memandang rendah kepada saya,” katanya.

 JJPTR atau Jie Jiu Pu Tong Ren yang bermaksud keselamatan untuk rakyat biasa dalam bahasa Mandarin berpangkalan di Pulau Pinang, bersama JJ Poor to Rich dan JJ Network Global adalah antara syarikat yang disenaraikan sebagai syarikat yang tidak dibenarkan di bawah Bank Negara Malaysia.


JJPTR, pelaburan forex

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain