Exco Johor Dibebas Dengan Jaminan SPRM - Semasa | mStar

Exco Johor Dibebas Dengan Jaminan SPRM

JOHOR BAHRU: Seorang Exco kerajaan negeri Johor yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini, dibebaskan daripada tahanan reman, Khamis.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Rendah Johor Bahru Saba'aton Daud membenarkan exco berumur 51 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM200,000.

Exco berkenaan direman tujuh hari bermula 10 Mac lepas dan tempoh reman terbabit berakhir Khamis.

Terdahulu, exco tersebut yang lengkap berpakaian lokap berwarna oren tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen/Majistret di sini, kira-kira 9.10 pagi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda SPRM. 

Selepas prosiding selama 15 minit di bilik pendaftar, exco berkenaan dibawa menaiki kenderaan sama untuk dibawa ke pejabat SPRM Johor, di sini. 

Exco berkenaan yang bercuti daripada tugas rasmi kerajaan negeri sejak 1 Mac sehingga siasatan berhubung rasuah dan penyelewengan hartanah itu selesai, ditahan SPRM di pejabat agensi itu, di sini, pada 9 Mac lalu ketika hadir memberikan keterangan berhubung skandal terbabit.

Selain itu, SPRM turut menggeledah rumah exco terbabit dan merampas wang tunai RM41,000, 150 beg tangan pelbagai jenama serta sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire. 

Beliau disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Dua hari lepas,Mahkamah Tinggi Johor Bahru menolak permohonan exco tersebut untuk menyemak semula tempoh reman yang dikenakan ke atasnya mulai 10 Mac itu.

Excoberkenaan yang hadir di mahkamah bersama peguamnya, Abdul Rahim Ali, memohon agar tempoh reman yang dikenakan terhadapnya dipendekkan atau ditamatkan.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak, yang membuat keputusan itu selepas mendengar hujah-hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, bagaimanapun berkata Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan tentang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rendah.-- Bernama

SPRM , Latif Bandi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain