suria

'KM Bagan Datuk' Kapal Ronda Generasi Baharu Pertama APMM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (enam, kiri) dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bergambar di hadapan kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang baharu dilancarkan pada Majlis Penamaan dan Pelancaran Kapal Pertama Generasi Baru (NGPC) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Limbungan Destini Shipbuilding and Engineering. Kapal tersebut diberi nama KM Bagan Datuk.
Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar dan Pengerusi Kumpulan Destini Tan Sri Rodzali Daud.

PELABUHAN KLANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu menamakan kapal ronda generasi baharu pertama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai KM Bagan Datuk.

Najib ketika melancarkan KM Bagan Datuk berkata sejak ditubuhkan lada 2009, APMM telah memainkan peranan penting dalam membantu kejayaan pelaksanaan penguatkuasaan di laut.

"Dalam usaha memperkasa penguatkuasaan undang-undang di laut, kekuatan aset laut APMM memainkan peranan yang penting dalam membantu kejayaan pelaksanaan penguatkuasaan di laut.

"Sejak APMM beroperasi dari 2006, tumpuan bersungguh-sungguh diberikan bagi membenteras jenayah rompakan kapal dagang dan hasilnya, tiada kes rompakan berlaku di Selat Melaka sejak 2009 sehingga kini, kecuali pada 2011, di mana berlaku dua rompakan dan satu kes pada tahun 2014 dan 2015 yang telah berjaya diselesaikan melibatkan 'siphoning of diesel'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Penamaan dan Pelancaran Kapal Ronda Generasi Baharu Pertama APMM di sini Khamis.

Pelancaran KM Bagan Datuk telah disempurnakan oleh isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib dalam ucapannya turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM740 juta untuk pembinaan tiga buah kapal peronda luar pesisir.

"Kerajaan telah bersetuju memperuntukkan sebanyak RM740 juta kepada APMM untuk membina tiga buah kapal peronda luar pesisir pantai (OPV)," katanya.

"Dengan terbinanya kapal berkenaan, ia akan memenuhi tuntutan keperluan yang dihadapi oleh APMM, terutamanya dalam berdepan dengan cabaran sektor maritim yang kini semakin meluas dan kompleks," katanya.

Dalam pada itu perdana menteri turut memaklumkam bahawa tawaran kerajaan Jepun untuk memberikan dua buah kapal OPV melalui bantuan geran memperlihatkan kepercayaan dan pengiktirafan negara itu terhadap keupayaan serta peranan APMM dalam melaksanakan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang serta memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin.

Tambahnya, kerajaan Australia juga pernah menghadiahkan dua buah kapal jenis Bay Class, bagi tujuan membantu APMM meningkatkan keupayaan tugas, terutamanya di perairan negara dan antarabangsa.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim selepas majlis pelancaran memberitahu pihak media bahawa nama KM Bagan Datuk dipilih atas persetujuan satu jawatankuasa yang dibentuk.

"Jawatankuasa yang buat pemilihan, ada kapal diambil nama sempena nama bandar diraja, ada yang ambil nama ikan atau nama pulau...kami menteri tak terlibat," katanya.

KM Bagan Datuk yang dibina oleh syarikat tempatan, Destini Berhad dapat digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat, kebakaran, perlindungan perikanan, penguatkuasaan undang-undang, bantuan bencana, latihan, kawalan pencemaran dan tugas-tugas Zon Ekonomi Ekslusif.

Berukuran 44.25 meter, KM Bagan Datuk telah direka menjadi aset paling besar, moden pantas dan canggih di kalangan armada APMM.

Ia boleh mencapai kelajuan maksima 24 knot bersama krew maksima 41 orang.

KM Bagan Datuk, APMM, Perdana Menteri

Artikel Lain