suria

Penyeludup Minyak Semakin Licik

PETALING JAYA: Harga petrol di Malaysia tetap menjadi yang paling murah di rantau ini walaupun mengalami kenaikan harga.

Situasi ini menyebabkan penyeludupan beribu-ribu liter bahan api di sempadan utara tanah air terus berlaku.

Penyeludup menggunakan cara yang bijak untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Mereka telah mengubah ruang penyimpanan tayar ganti, rangka motosikal dan juga bumper kereta menjadi tempat simpanan bahan api.

Mengubahsuai tangki bahan api tambahan pada bahagian tempat duduk kenderaan, bahagian bonet dan di bawah kereta juga merupakan taktik yang sangat popular.

Walaupun subsidi bahan api telah dimansuhkan dua tahun lalu, petrol dan diesel terus diseludup melalui sempadan Thai dari Malaysia.

Tanpa subsidi, harga petrol dan diesel ditetapkan mengikut sistem apungan terurus bermula 1 Disember 2014.

Harga minyak yang diapungkan sepatutnya merapatkan jurang harga bahan api antara Malaysia dan Thailand bagi membendung aktiviti penyeludupan.

Harga semasa seliter minyak RON95 dan RON97 adalah RM2.30 dan RM2.60, manakala harga diesel adalah RM2.15 seliter ekoran kenaikan 20 sen harga minyak bulan ini.

Di Thailand, harga bagi seliter Shell E20 Gasohol adalah 25.19 baht (RM3.17), Shell FuelSave Gasohol91 27.43 baht (RM3.45), Shell FuelSave Diesel 26.44 baht (RM3.33), Shell V-Power Nitro + Gasohol 95 31.52 baht (RM3.97) dan Shell V-Power Nitro + Diesel 29.93baht (RM3.77).



Harga bahan api yang lebih murah ini telah menarik perhatian penyeludup dan agensi-agensi penguatkuasaan di sempadan perlu sentiasa berjaga-jaga.

Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Kastam Datuk Paddy Abdul Halim berkata pegawai-pegawai di sempadan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berhubung aktiviti penyeludupan diesel dan petrol.

Pada 6 November, bahagian penguatkuasa kementerian telah menyerbu dua tempat penyimpanan bahan api haram di Zon Perindustrian di Bukit Kayu Hitam dan merampas 55,000 liter diesel dan 18,000 liter petrol bernilai kira-kira RM135,000.

Ketua penguatkuasa kementerian di Kedah, Shahrudin Hamzah berkata serbuan itu dilakukan selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata, seorang pemandu lori telah ditangkap ketika sedang memindahkan diesel ke salah sebuah tangki di tempan penyimpanan pertama.

Suspek, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang, telah ditahan bersama seorang lagi lelaki yang yang bertanggungjawab ke atas tempat penyimpanan bahan api tersebut.

Shahrudin berkata kementerian juga sedang mengesan pemilik dua stor bahan api haram terbabit.

Katanya pemiliknya telah menyerahkan operasi tempat penyimpanan itu kepada individu lain yang dipercayai telah meneruskan perniagaan tanpa lesen.

"Suspek boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tiga tahun, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta," katanya.

Antara Januari dan November tahun lepas, sembilan kes penyeludupan bahan api direkodkan dan 54,307 liter petrol bernilai RM65,168 dan 79,705 liter diesel bernilai RM95,646 telah dirampas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain