suria

Remaja Guna Laman Sosial Untuk Dapat Bekalan Dadah

Datuk Mohd Yunus Pathi
KUALA LUMPUR: Maklumat yang mudah diakses menerusi laman sosial mengenai pelbagai jenis dadah dipercayai antara punca golongan pelajar sekolah mudah memperoleh bahan terlarang itu daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) Datuk Mohd Yunus Pathi berkata beberapa laman sosial popular dipercayai antara saluran terkini bagi penjualan dadah.

"Kebelakangan ini kita dapati trend pengedaran dadah semakin membimbangkan sehingga melibatkan pelajar sekolah dan pihak tidak bertanggungjawab tersebut menggunakan pelbagai taktik untuk mempengaruhi golongan pelajar.

"Senario ini pastinya menggalakkan kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan  dadah terus berlaku dalam kalangan pelajar sekolah," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini Jumaat.

Mohd Yunus berkata kecenderungan golongan itu untuk mengetahui nikmat dadah serta kurangnya kawalan ibu bapa menyebabkan gejala tersebut mudah berlaku.

Beliau berkata ibu bapa seharusnya memantau aktiviti anak-anak mereka serta mengawal penggunaan media sosial yang dikhuatiri memberi kesan buruk.

Sebelum ini dilaporkan terdapat aktiviti mengumpan pelajar sekolah untuk membeli dan menggunakan dadah melalui beberapa aplikasi media sosial.

Pengaruh dadah itu juga dipercayai punca berlakunya pelbagai masalah sosial dan jenayah termasuk pembunuhan ketika di bawah pengaruh dadah.

Sementara itu, guru kaunseling sebuah sekolah di Ampang, Mohd Syukri Alias, 28, berkata pelajar perlu diberi pendedahan awal serta maklumat mendalam mengenai penyalahgunaan dadah.

"Pendidikan mengenai dadah perlu ditekankan semasa proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas selain aktiviti kokurikulum yang boleh memberi pendedahan lebih mendalam mengenai penyalahgunaan dadah.

"Golongan pelajar ini perlu sentiasa dibimbing dan diberi perhatian kerana mereka mudah terpengaruh sekiranya mendapat maklumat yang salah," katanya.

Faridah Mansor, 43, ibu kepada dua anak berusia 10 dan 15 tahun pula berkata ibu bapa merupakan pihak paling penting dalam mengawal tingkah laku serta aktiviti anak-anak kerana sering berada bersama.

Katanya ibu bapa tidak boleh bersikap lepas tangan atau sambil lewa sekiranya melihat perubahan anak-anak dan kesibukan bekerja serta rutin harian tidak seharusnya dijadikan penghalang untuk memantau aktiviti anak-anak.


"Selain itu terdapat segelintir ibu bapa yang meletakkan tanggungjawab  sepenuhnya kepada guru untuk memantau aktiviti anak-anak mereka di sekolah, sedangkan tugas guru hanya terhad di sekolah sahaja," katanya.

Artikel Lain