suria

SPRM Tahan Peguam Dipercayai Cuba Rasuah Timbalan Pendakwa Raya

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat menahan seorang peguam kerana dipercayai cuba merasuah Timbalan Pendakwa Raya bagi menyelesaikan kes membabitkan anak guamnya.

Suspek wanita berusia 54 tahun itu dipercayai memberi wang berjumlah RM1,000 kepada Timbalan Pendakwa Raya itu di bilik air mahkamah Shah Alam bagi menyelesaikan kes anak guamnya yang dituduh mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan.

Menurut sumber, SPRM menerima satu laporan daripada Timbalan Pendakwa Raya tersebut berhubung perbuatan wanita itu kira-kira jam 3 petang semalam dan telah membuka kertas siasatan.

"Suspek ditahan di kediamannya di Shah Alam kira-kira jam 9.45 petang semalam dan direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

kes rasuah, peguam, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain