suria

Lelaki Tembak Bekas Isteri Sebelum Tembak Diri Sendiri

Kelihatan anak perempuan waris yang maut dalam kejadian tembak di Menara Centara, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jumaat. Dalam kejadian itu, seorang lelaki menembak bekas isterinya sebelum menembak dirinya sendiri. 
-fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki menembak mati bekas isterinya sebelum menembak dirinya hingga mati di sebuah firma guaman di Menara Centara di Jalan Chow Kit di sini, Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian berlaku pada 3.15 petang di tingkat 16 bangunan itu.

Beliau berkata seorang lelaki dilapor datang ke pejabat bekas isterinya yang merupakan kakitangan sebuah firma di bangunan itu.

"Berlaku pertengkaran antara mereka sebelum lelaki tersebut melepaskan kira-kira empat das tembakan terhadap mangsa. 

Dua tembakan mengenai bahagian belakang dan paha kanan mangsa sebelum suspek menembak pula dirinya di kepala," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 51 tahun datang ke pejabat bekas isterinya yang berumur 46 tahun dengan membawa pistol dan sebilah parang kira-kira 2.50 petang.

Kata Rusdi, pasangan yang telah bercerai lima tahun lalu itu mempunyai tiga cahaya mata berusia antara 16 hingga 24 tahun.

"Mereka berhadapan masalah sejak bercerai.

"Sebab itu juga bekas isterinya tukar tempat kerja sebelum bekerja di tempat kerja lamanya kira-kira dua tahun lalu," katanya.

Menurut polis, lelaki berkenaan memiliki rekod jenayah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan bersenjata.

Ketika ini, pihak polis sedang memeriksa kamera rakaman litar tertutup (CCTV) untuk mengetahui kejadian sebenar kerana tiada saksi ketika itu.

"Mereka hanya dengar pertengkaran antara keduanya tetapi tidak memahami apa yang diperkatakan kerana mereka bertutur bahasa Tamil," katanya.

Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.


Menara Centara, Jalan Chow Kit

Artikel Sebelum

Artikel Lain