suria

Lima Penculik Kempunan Wang Tebusan RM300,000

GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM: Lima lelaki tidak sempat membelanjakan wang tebusan RM300,000 yang diperoleh apabila diberkas polis tidak lama selepas membebaskan seorang pengurus syarikat yang diculik mereka di Rawang dekat sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata kesemua suspek warga tempatan berumur antara 22 dan 35 tahun, ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang sejak petang semalam sehingga malam Khamis.

"Wang tebusan RM300,000 yang dibayar keluarga mangsa turut ditemui semula," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa yang juga pengurus syarikat pemborong runcit dan pengangkutan berusia 33 tahun, diheret masuk ke sebuah kereta di hadapan rumahnya di Bandar Country Homes, Rawang, ketika lelaki tersebut hendak ke tempat kerja.

Suspek kemudian menghubungi keluarga mangsa beberapa kali bagi menuntut mereka membayar wang tebusan berjumlah RM5 juta.

"Beberapa rundingan dilakukan keluarga mangsa dan suspek sehingga mereka akhirnya bersetuju dengan wang tebusan RM300,000.

"Keluarga mangsa seterusnya meninggalkan wang tebusan itu di sebuah kawasan di Rahman Putra, Sungai Buloh seperti dikehendaki suspek, kira-kira pukul 7 malam hari yang sama.

"Mangsa dibebaskan di kawasan Batu Arang, Rawang, kira-kira pukul 6.10 pagi semalam dan selepas mengesahkan mangsa selamat serta tidak mengalami kecederaan, polis melancarkan gerakan memburu suspek," katanya.

Menurut Abdul Samah, siasatan awal mendapati seorang suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau bagi kes penculikan dan pernah disiasat berhubung kes pembunuhan, namun tidak ada sabitan, manakala empat suspek lain tidak mempunyai rekod kesalahan lalu.

Siasatan awal juga mendapati mangsa tidak mengenali kesemua suspek tetapi suspek dipercayai mengetahui identiti serta rutin harian mangsa sebelum menculik lelaki itu, katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat mengikut Akta Culik 1961.

Culik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain