suria

Ahli Geng Mamak Terbunuh Dalam Insiden Berbalas Tembakan Dengan Polis

Gambar hiasan.

SHAH ALAM: Polis menembak mati seorang ahli Geng Mamak pada awal pagi Jumaat.

Suspek dipercayai terlibat dalam kejadian kejar-mengejar yang berakhir dengan insiden berbalas tembakan dekat Bukit Cherakah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata insiden berlaku kira-kira pukul 4 pagi.

"Anggota operasi Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) menyedari sebuah kereta yang mencurigakan ketika mereka melakukan rondaan di Setia Alam.

"Mereka cuba menahan kereta itu untuk pemeriksaan sebelum suspek memecut laju.

"Anggota kami mengejar suspek dan dia merempuh kenderaan kami. Kereta yang dinaikinya pula hilang kawalan dekat Bukit Cherakah.

"Suspek keluar dari keretanya lalu melepaskan tembakan ke arah polis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Jumaat.

Beliau berkata polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

"Suspek terbunuh dalam insiden berbalas tembakan itu.

"Siasatan awal mendapati suspek berusia 53 tahun itu dikehendaki berkaitan berberapa kes samun di Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

"Suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau dalam kes rompakan, pecah rumah dan jenayah berkaitan dadah," katanya.

Suspek dipercayai menjadi ahli Geng Mamak, sebuah kumpulan yang terlibat dalam rompakan jongkong emas bernilai RM12 juta di Lapangan Terbang Subang pada 1994.


Geng Mamak, terbunuh

Artikel Berikut

Teksi Mini Ganti Dego Ride?

Artikel Lain