suria

Polis Tahan Mat Rempit Buat Aksi Berbahaya

Gambar hiasan.

GEORGE TOWN: Seorang lelaki ditahan polis selepas dikesan berlumba haram sambil melakukan pelbagai aksi berbahaya di Jalan Tun Dr Awang, Bayan Lepas dekat sini awal hari Sabtu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Anuar Omar berkata lelaki berusia 23 tahun itu dikesan bersama beberapa mat rempit lain berlumba di jalan itu oleh sepasukan polis trafik yang melakukan rondaan Cegah Samseng Jalan Raya pada 4.10 pagi.

"Pasukan polis bertindak mengejar mereka sehingga ke lampu isyarat JalanTengah dan berjaya menahan lelaki tersebut manakala rakan-rakannya meloloskan diri," katanya di sini, Sabtu.

Anuar berkata pemeriksaan ke atas lelaki itu mendapati dia tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh serta motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya telah diubah suai.

"Lelaki ini ditahan menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana berkumba haram dan motosikalnya disita," kata Anuar.

Beliau berkata sepanjang rondaan Cegah Samseng Jalan Raya dari 2 hingga 6 pagi itu, polis turut menyita lapan lagi motosikal dan mengeluarkan 23 saman kepada bebeberapa penunggang yang berkumpul di tepi jalan berkenaan.

"Ada kira-kira 60 mat rempit berkumpul di situ, dipercayai untuk menonton lumba haram dan polis berjaya menyuraikan mereka," katanya.

Difahamkan sekalipun rondaan Cegah Samseng Jalan Raya kerap diadakan kawasan itu yang terkenal dengan kegiatan rempit, masih ramai pelumba haram yang berdegil dan meneruskan kegiatan mereka terutama pada malam minggu.-Bernama

Mat Rempit

Artikel Lain