suria

Lima Jalan Utama Gua Musang Masih Selamat

GAMBAR HIASAN

GUA MUSANG: Lima jalan utama menghubungkan Gua Musang dengan kawasan luar masih selamat digunakan oleh semua kenderaan walaupun terdapat beberapa kejadian kecil tanah runtuh akibat hujan.

Jalan utama tersebut adalah jalan menghubungkan Gua Musang dengan Kuala Lipis di Pahang; Kuala Berang di Terengganu serta Kuala Krai, Jeli dan Lojing.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Rajab Ahad Ismail berkata agensi berkaitan sedang giat memantau kawasan cerun yang mengalami kejadian tanah runtuh bagi mengelak insiden tidak diingini terhadap pengguna.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan tahap keselamatan penggunaan jalan itu, namun pada masa sama pengguna juga perlu berhati-hati ketika memandu kerana keadaan jalan yang licin," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Bernama sebelum ini, melaporkan terdapat dua kejadian tanah runtuh di Km54 dan Km49 Jalan Gua Musang-Lojing sehingga menyebabkan ia terpaksa ditutup kepada sesetengah kenderaan sejak 30 Disember lepas.

Mengulas lanjut, Rajab Ahad berkata kejadian tanah runtuh kecil memang berlaku di dua kawasan berkenaan, namun ia tidak menghalang kenderaan daripada melalui kawasan tersebut.

Beliau berkata lokasi itu telah diletakkan kon peringatan bagi mengelak pengguna memandu secara cuai, sekali gus boleh menyebabkan mereka terdedah kepada kemalangan.

Selain itu, Rajab Ahad berkata beliau turut mengarahkan anggotanya untuk melakukan rondaan di kawasan sering berlaku kejadian tanah runtuh bagi mengelak sebarang kejadian buruk terhadap pengguna jalan raya.

Gua Musang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain