suria

Rampasan Dadah Sepanjang 2016 Bernilai RM189.5 Juta - PDRM

GAMBAR FAIL

TELUK INTAN: Polis Diraja Malaysia berjaya merampas dadah yang mempunyai nilai keseluruhan RM189.85 juta membabitkan 182,962 kes sepanjang Januari hingga Disember 2016 di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kejayaan itu adalah usaha Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah yang mana 200,586 pesalah atas berbagai kesalahan dadah berjaya ditahan dan 26 makmal haram berjaya dibongkar dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata jumlah tangkapan pada 2016 meningkat 10 peratus berbanding 182,787 pada 2015 dengan kutipan dianggarkan RM238.87 juta.

Rampasan dadah bertambah pada tahun 2016 tetapi nilainya berkurangan kerana lambakan bekalan dadah terutamanya dadah sintetik seperti syabu yang menyebabkan kejatuhan harga dadah itu di pasaran Malaysia dan PDRM membuat penilaian rampasan mengikut harga pasaran sesamsa.

"Polis telah merampas 5,563.8kg pelbagai jenis dadah, 2,996,529 biji pil, 285,793.03 liter cecair pelbagai jenis dadah, 46,339.59kg daun ketum dan 25 pokok ganja yang kesemuanya bernilai RM189.85 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Hilir Perak di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk SAC Gan Tian Kee dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Wan Hassan Wan Ahmad.

Menurutnya daripada 200,586 yang ditahan, rakyat tempatan paling ramai iaitu 192,663 pesalah, berbanding 172,743 pada 2015 manakala tangkapan warganegara asing turut meningkat kepada 7,923 pesalah berbanding 7,044 pada tahun sebelumnya.

Katanya lagi pecahan jumlah tangkapan sepanjang tahun lalu turut mencatatkan peningkatan membabitkan seramai 21,178 pembekal iaitu 15 peratus, 51,421 pemilik dadah (24 peratus) dan 127,987 (4 peratus) didapati positif urin.

"Aktiviti tangkapan dan tindakan ke atas pengedar di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 juga meningkat 19 peratus kepada 1,014 kes berbanding 854 kes dalam tempoh yang sama," katanya.

Beliau berkata gejala penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan penuntut sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) menunjukkan kebimbangan apabila turut mencatatkan peningkatan tangkapan sebanyak 20 peratus atau 987 penuntut sepanjang tahun lalu.

Mohd Mokhtar berkata penuntut IPT paling ramai terlibat iaitu 539 orang berbanding 378 yang ditahan pada 2015 menjadikan peningkatan melonjak kepada 43 peratus.

"Gejala penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah juga membimbangkan apabila 448 pelajar direkodkan pada tahun lepas berbanding 443 pada tahun 2015.

"Penuntut yang ditahan di bawah seksyen 39B ADB adalah 112 orang dan bagi 2015 41 orang," katanya kesemua yang terlibat majoritinya 97 peratus lelaki dan bakinya adalah perempuan.

Komposisi penagihan dadah di dalam negara kini ialah 65 peratus pengguna dadah sintetik seperti ekstasi, syabu dan yaba manakala hanaya 35 peratus penagih mengambil dadah tradisional seperti heroin dan ganja.

Beliau turut memberitahu kejayaan sepanjang tahun lepas itu pihaknya turut merampas sebanyak 121 senjata api, 1,405 butir peluru, dua bom tangan, tiga bom tangan buatan sendiri dan satu bom mortar. - BERNAMA

PDRM, Dadah

Artikel Lain