suria

SPRM Perlu Pantau Penglibatan Pegawai Kerajaan Dalam Sukan Ekstrem - Idris Haron

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menyarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau pegawai kerajaan berpangkat tinggi yang menyertai sukan ekstrem di luar negara.

"Terdapat ramai pegawai kerajaan yang terlibat dalam sukan tersebut yang dianggap mewah dan mahal.

"Sukan seperti luncur ais, menyelam, terjun udara dan motosikal lasak adalah sukan eksklusif dan SPRM perlu memastikan pegawai kerajaan terbabit turut dipantau," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Seri Negeri di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki berkata, pihaknya memantau pegawai kerajaan yang bermain golf di luar negara dan memiliki hubungan dengan perempuan simpanan.

Menurut Idris, SPRM tidak sepatutnya menjadikan aktiviti golf di luar negara sebagai kayu pengukur untuk memburu suspek pegawai kerajaan yang terlibat dalam rasuah.

Jelas beliau, kerajaan negeri menyokong tindakan SPRM untuk memantau pihak yang bermain golf di luar negara dan mempunyai perempuan simpanan.

"Wujud juga kes melibatkan pegawai kerajaan membayar sejumlah wang untuk menyertai acara motosikal lasak di luar negara.

"Suspek kes rasuah ini bukan sahaja bermain golf tetapi terlibat dalam sukan mewah," katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, pegawai kanan kerajaan negeri dilarang bermain golf sewaktu waktu pejabat walaupun mereka sedang bercuti.

"Terdapat peraturan melibatkan aktiviti golf yang dikuatkuasakan sejak 2013 dan mereka yang sedang bercuti hanya boleh berada di kelab golf selepas pukul 5 petang.

"Kami telah mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan tersebut," katanya.

SPRM, Idris Haron

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain