suria

Paras Air Dua Empangan Di Seremban Masih Rendah

GAMBAR fail empangan Kelinchi yang dirakamkan pada Februari 2016.

SEREMBAN: Paras air di dua empangan utama di sini masih rendah walaupun hujan lebat turun di kebanyakan kawasan di Negeri Sembilan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, empangan Sungai Terip dan Kelinchi yang membekalkan air kepada berpuluh-puluh ribu penduduk di Seremban dan beberapa daerah lain mampu bertahan kira-kira 70 hari lagi, walaupun tempoh sebenar lebih lama lagi.

"Atas sebab yang tidak diketahui, hujan tidak turun di kawasan hulu sungai.

"Saya berharap pengguna dapat berjimat menggunakan air dan tidak beranggapan bahawa air empangan telah penuh disebabkan hujan di kawasan hilir sungai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco pada Rabu.

Mohamad Hasan berkata, pengguna tidak boleh membazirkan air kerana kadar tarif yang rendah.

"Saya tahu Negeri Sembilan mengenakan kadar tarif air paling rendah di negara ini tetapi tidak bermakna air boleh dibazirkan," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kapasiti air di lima lagi empangan lain berada pada paras penuh.

Beliau juga telah mengarahkan Syarikat Air Negeri Sembilan untuk mencari jalan bagi memastikan dua empangan tersebut dipenuhi semula.

"Kita perlu menggunakan pam dan memenuhi empangan tersebut memandangkan musim kemarau yang bakal tiba dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

"Pilihan lain adalah melaksanakan pembenihan awan hujan di kawasan hulu sungai," katanya.

Empangan, Mohamad Hasan

Artikel Lain