suria

Najib Bawa Rakan Dalam Talian Naik MRT

Najib (tengah) pada lawatannya untuk menaiki transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) dari Stesen Mutiara Damansara ke Stesen Pusat Bandar Damansara. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Beberapa rakan dalam talian Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama Perdana Menteri menjadi antara yang terawal menaiki transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) dari Stesen Mutiara Damansara ke Stesen Pusat Bandar Damansara.

Dalam catatan terbaharu di blog rasminya www.najibrazak.com hari ini, Perdana Menteri berkata beliau membawa mereka untuk bersama-sama meninjau projek MRT sebelum Fasa Pertama Laluan Sungai Buloh-Kajang beroperasi sepenuhnya 16 Disember ini.

"Sepanjang perjalanan, kami sempat bersembang santai mengenai hala tuju pengangkutan awam negara...terutamanya kesan dan impak besar yang akan dibawa oleh MRT kepada negara, dan lebih penting lagi kepada gaya hidup rakyat semuanya," kata Najib.

Antara yang menyertai beliau menaiki MRT adalah Puteri Balqish dan Rosli Abdul Rahman dari portal PenMerahdotcom; Ahmad Nazuwan Amran dari portal hiburan BeautifulNara; Mohd Nazrinifwat kurator akaun Twitter @mohon_clash; dan penulis blog isu ekonomi Mohd Syahir.

Turut bersama-sama Perdana Menteri ialah penulis blog isu pengangkutan awam Khairul Idzwan Kamarudzaman; pengasas portal TheVocket Mohd Fazreen Jasni; aktivis sosial Kuan Chee Heng; produser Vine Lukman Aqid Zulkarnae; pengacara radio HotFM Nordin Madian; jurufoto Hishammuddin Hashim (Abeden Mung); dan doktor pakar Dr Abdul Rahman Abdul Kadir.

Tidak ketinggalan menyertai rombongan itu ialah ketua pegawai kewangan merangkap penulis buku Azmi Arshad; dan Timbalan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya, Dersamynee Subramaniam.

Dalam pada itu, Najib berkata MRT akan menambah baik kesalinghubungan dalam kalangan rakyat, ditambah pula dengan penyediaan bas pengantara atau 'feeder bus' di setiap stesen MRT.

Beliau berkata MRT akan melengkapi kemudahan pengangkutan awam sedia ada dan memacu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi seperti mana yang rakyat impikan.

"Saya tak sabar menanti 16 Disember ini untuk anda semua dapat merasai sendiri masa depan pengangkutan awam negara. Jom Naik MRT!" kata Perdana Menteri.

Najib Razak, MRT

Artikel Sebelum

Media Putar Belit - MB Perlis

Artikel Berikut

Artikel Lain