suria

Jabatan Penjara Tidak Pernah Beri Kebenaran Anwar Buat Kenyataan Media

Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara tidak pernah membenarkan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan sebarang kenyataan media di mahkamah seperti didakwa sebuah portal berita.

Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Hassan Sakimon berkata, penelitian terhadap klip video portal berita itu mendapati sidang akhbar berlaku ketika Anwar diiringi keluar sebaik selesai perbicaraan di Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, Isnin.

Katanya, setiap kali Anwar diiringi ke mahkamah bagi tujuan perbicaraan, kerap kali proses pengiringan tersekat oleh pihak media dan orang ramai yang memungkinkan berlaku interaksi lisan di luar kawalan Jabatan Penjara.  

"Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada diguna pakai bagi memastikan pengiringan terhadap semua banduan termasuk Anwar dilaksanakan dengan mengutamakan aspek keselamatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjelaskan laporan sebuah portal berita yang mendakwa Anwar dibenarkan membuat sidang akhbar semasa berada di mahkamah oleh Jabatan Penjara, kata Hassan. 

Hassan berkata, Jabatan Penjara sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian sebenar yang berlaku di Mahkamah Rayuan berkenaan pada Isnin.

"Pihak kami sesekali tidak akan berkompromi jika berlaku sebarang salah laku anggota dan pegawai penjara," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain